Sunday, April 25, 2010

ISU-ISU BERKAITAN SEKOLAH

Dewasa ini berbagai isu berkaitan pendidikan sering dipaparkan di dada akhbar. Fenomena ini berlaku kerana sekolah dilihat dari beberapa aspek yang amat berkait rapat dengan masyarakat seperti;
i. aktiviti yang dijalankan di sekolah mempunyai kepentingan terhadap masyarakat
ii. ibubapa sentiasa peka tentang program yang dijalankan di sekolah
iii. pelajar sentiasa melaporkan kepada ibubapa sebarang kejadian atau aktiviti yang
berlaku di sekolah
iv. guru diamanahkan untuk bertindak sebagai ‛loco parentis’ di sekolah
v. pengetua sebagai ketua bertanggungjawab dalam semua aspek di sekolah dan
vi. pengetua adalah penjaga kepada pelajar-pelajar

Antara isu salah urus yang melibatkan pengurusan hal ehwal murid ialah isu
keracunan makanan di kantin ataupun di asrama sekolah. Kejadian sebegini berlaku disebabkan oleh faktor kebersihan makanan dan penyediaan makanan yang tidak diberikan perhatian oleh pengurusan kantin ataupun asrama sekolah. Namun kecuaian atau sikap tidak ambil peduli pengurusan sekolah dalam memantau kantin dan asrama sekolah secara konsisten dalam aspek kebersihan dan kualiti makanan menjadikan pihak sekolah sentiasa terdedah kepada kritikan masyarakat.
Justeru itu langkah-langkah proaktif perlu diambil oleh pihak pengurusan sekolah sebelum isu ini berlaku. Antara langkah-langkah yang dapat diambil ialah
i. menyediakan jadual pemantauan kantin/asrama yang tetap dan lebih kerap
ii. melantik guru bertugas khusus bagi tugas pemantauan di mana rekod pemantauan perlu dicatat di dalam buku log pemantauan
iii. memastikan pekerja-pekerja kantin/asrama sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan
iv. bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan nasihat dalam aspek kebersihan fizikal dan proses penyediaan makanan
v. mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha kantin/asrama apabila berlaku kepincangan di dalam pengurusan kantin/asrama sekolah dan
vi. mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/1995 (Keracunan Makanan Di Sekolah-Sekolah)

Isu berkaitan dengan kurikulum pula yang sering mendapat perhatian
masyarakat ialah mengenai dakyah bahawa kerajaan akan menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil. Isu ini timbul berikutan adanya pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh dengan harapan ianya akan menjadi suatu tarikan untuk mendapatkan sokongan politik. Walaupun isu ini lebih menjurus kepada peranan kerajaan dalam menentukan dasar pendidikan negara namun pihak sekolah tidak seharusnya mengambil langkah berdiam diri dan memencilkan diri dari cuba menjelaskan kedudukan yang sebenar kepada masyarakat. Pihak sekolah khususnya pentadbir Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil perlu bertindak bagi menangani isu ini. Langkah yang dapat diambil termasuklah;
i. mengadakan pertemuan dengan waris-waris bagi menjelaskan kedudukan sebenar berkaitan isu ini
ii. menjemput wakil-wakil daripada kementerian pelajaran untuk memberikan penerangan yang terperinci berkaitan isu yang dibangkitkan
iii. menegaskan bahawa Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Seksyen 28 ada menyebut tentang penubuhan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan serta penyenggaraannya yang tertakluk di bawah bidang kuasa menteri
iv. menjelaskan bahawa berlakunya perpindahan bukannya penutupan beberapa sekolah jenis kebangsaan yang kurang murid dilakukan ke kawasan berpenduduk padat

Kegiatan kokurikulum juga merupakan suatu bidang yang sering mendapat
perhatian masyarakat khususnya apabila berlaku kecuaian pihak sekolah dalam mengendalikan sesuatu aktiviti. Kes-kes seperti pelajar mati lemas semasa berkhemah, pelajar maut akibat kemalangan jalanraya semasa dalam perjalanan mengikuti aktiviti kokurikulum dan lainnya merupakan kes-kes yang sering terpampang di dada akhbar. Kecuaian pihak sekolah mengawal keselamatan pelajar semasa aktiviti kokurikulum dijalankan, mengabaikan aspek keselamatan semasa mengendalikan sesuatu aktiviti, guru tidak berada bersama pelajar semasa aktiviti kokurikulum dijalankan dan prosedur keselamatan tidak dipatuhi sepenuhnya merupakan punca-punca berlakunya sesuatu kemalangan terhadap pelajar ketika menjalani aktiviti kokurikulum.
Bagi mengelakkan daripada pihak sekolah dipersalahkan apabila sesuatu kemalangan yang melibatkan pelajar itu berlaku semasa menjalani aktiviti kokurikulum maka pihak sekolah perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti;
i. sentiasa memberi keutaman dan peringatan mengenai keselamatan dan kebajikan pelajar semasa menjalani aktiviti kokurikulum
ii. memastikan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar dalam aktiviti kokurikulum menjadi tanggungjawab semua guru dan dilaksanakan secara kolaboratif
iii. merancang dengan teliti setiap aktiviti yang akan dijalankan dengan mementingkan aspek keselamatan
iv. melengkapkan diri guru-guru dengan ilmu pengetahuan tentang kecemasan
v. mengadakan pelan kontingensi jika berlaku kecemasan dan kemalangan
vi. mengambil skim perlindungan diri untuk setiap pelajar dan
vii. mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000 berkaitan Panduan Keselamatan Diri Pelajar.

Isu berkaitan kewangan di sekolah juga sering mendapat perhatian ibubapa
khususnya berkaitan dengan bayaran berkaitan persekolahan dan bayaran tambahan. Walaupun Kementerian Pelajaran telah memansuhkan yuran persekolahan di sekolah rendah dan sekolah menengah mulai tahun 2008 ini serta menetapkan paras siling kutipan bayaran tambahan sebanyak RM 38.50(rendah) dan RM 55.50(menengah) namun masih terdapat sekolah-sekolah yang mengutip bayaran tambahan sehingga mencecah ratusan ringgit. Kegagalan pihak sekolah untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran telah menjadi isu yang hangat sedikit masa lalu.
Justeru itu pihak sekolah hendaklah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengelak daripada timbulnya isu-isu yang tidak diingini. Beberapa langkah yang dapat dipraktikkan ialah;
i. menjelaskan kepada waris tentang kekeliruan yang timbul berkaitan pemansuhan yuran persekolahan
ii. menerima bayaran daripada waris secara ansuran dalam tempoh yang ditetapkan
iii. mematuhi paras siling yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran
iv. mendapatkan persetujuan daripada PIBG untuk mengenakan bayaran tambahan bagi tujuan peningkatan akademik dan
v. mencari sumber kewangan tambahan daripada agensi luar

Salah laku kakitangan sekolah juga merupakan isu yang sering dipaparkan oleh
media cetak dan media elektronik. Kesalahan seperti menampar dan merotan pelajar tanpa mengikut prosedur ditetapkan seringkali dilakukan oleh guru. Kegagalan mengawal emosi serta kejahilan tentang undang-undang dikenalpasti sebagai punca kesalahan ini dilakukan. Di samping itu terdapat juga kes-kes yang berlaku akibat daripada tekanan jiwa yang dialami oleh guru.
Sebagai langkah untuk mengatasi masalah ini maka pihak pengurusan sekolah boleh mempraktikkan beberapa perkara di bawah;
i. sentiasa mengingatkan guru-guru tentang tatacara untuk mengambil tindakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan
ii. memberi latihan dalaman kepada guru atau menghantar guru berkursus berkaitan pengurusan disiplin pelajar
iii. melantik guru-guru disiplin yang berwibawa dan berketrampilan
iv. mewujudkan program peningkatan sahsiah pelajar bagi mengurangkan masalah disiplin
v. memberi kaunseling kepada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin
vi. merekodkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar dalam buku rekod kesalahan pelajar dan
vii. mematuhi arahan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1995 berkaitan tatacara mengenakan tindakan dan hukuman terhadap pelajar sekolah.
Beberapa isu yang diutarakan di atas berkaitan pengurusan hal ehwal murid,
kurikulum, kokurikulum, kewangan dan kakitangan di sekolah yang sering dipaparkan di dada akhbar perlu diberi perhatian serius oleh pihak sekolah. Pendedahan guru-guru kepada Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran(Disiplin) Sekolah 1959, Akta Pendidikan 1961, Akta Pendidikan 1996(Akta 550), Peraturan Pendidikan(Kurikulum Kebangsaan) 1997 dan Peraturan Pendidikan (PIBG) 1998 perlu dilaksanakan dengan segera dan menyeluruh bagi mengelak daripada isu-isu yang tidak diingini daripada berlaku dalam organisasi persekolahan.