Friday, September 23, 2011

ULASAN ARTIKEL TQM

(ULASAN ARTIKEL)

(Case Studies)
Total Quality Management Goes To School :
An Effective Way Of Improving School Quality
Oleh: Stefan Lagrosen


Pendahuluan:
Stefan Lagrosen telah menulis tentang kajian kes yang dijalankan pada tahun 1992 di empat buah sekolah di Stockholms, Sweden yang menggunakan ‘Total Quality Management’ bagi meningkatkan operasi mereka. Kaedah kualitatif berdasarkan pemerhatian, temuduga, seminar untuk mendapatkan maklumbalas telah digunakan dalam kajian kes ini. Takrifan kualiti di dalam pendidikan bagi empat kumpulan yang berkepentingan telah diambil kira dalam kajian ini. Empat kumpulan ini ialah pelajar-pelajar, kakitangan sekolah, ibu-bapa dan masyarakat. Keputusan kajian telah dilaporkan dan kesan yang positif telah ditunjukkan. Antara kesan-kesan positif yang dipaparkan ialah pandangan terhadap fungsi sekolah yang lebih besar dan penglibatan lebih banyak kumpulan yang berkepentingan tidak terhad kepada pelajar dan guru sahaja. Ini menjurus kepada kepuasan bekerja yang lebih serta mewujudkan hubungan komunikasi yang lebih baik bagi setiap peringkat khususnya di antara ibu-bapa dengan pihak sekolah. Di samping itu kesan positif turut dirasai dalam aspek peningkatan keterlibatan semua pihak dalam aktiviti yang dijalankan malah kerjasama yang diberikan juga turut meningkat. Kualiti kepemimpinan bagi pentadbir sekolah juga menunjukkan peningkatan malah kaedah penilaian yang berkesan serta kebolehan untuk melaksanakan sesuatu tugasan juga meningkat.

Ulasan:
Kejayaan TQM dalam sektor swasta telah menarik minat banyak pihak untuk mempraktikkannya di dalam sektor awam. Tempias ini juga dirasai dalam sektor awam yang berkaitan dengan pendidikan sebagaimana yang berlaku di Stockholm, Sweden. Dalam tahun 1992, suatu kajian kes berkaitan penggunaan TQM dalam pendidikan telah dilancarkan di empat buah sekolah di sini untuk mengkaji kesannya terhadap peningkatan kualiti pendidikan.

Dalam kajian ini penulis telah hadir ke sekolah-sekolah berkenaan sebanyak dua kali seminggu selama setahun pencerapan pengajaran dijalankan, menghadiri mesyuarat serta melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan oleh sekolah-sekolah tersebut. Malah temuduga yang mendalam dijalankan oleh penulis bersama kakitangan dan pentadbir sekolah-sekolah berkenaan dalam tempoh kajian dijalankan. Kedua-dua kaedah ini dijalankan bagi mendapatkan kefahaman yang menyeluruh tentang organisasi(sekolah) yang dikaji. Langkah kedua dalam kajian beliau ialah mendapatkan takrifan kualiti di dalam pendidikan bagi kumpulan sasaran yang terdiri daripada pelajar-pelajar, kakitangan sekolah dan ibu-bapa. Untuk mengesahkan hasil penemuannya sembilan seminar bersama guru-guru, pengetua(guru besar), pegawai-pegawai pelajaran serta ibu-bapa dijalankan.

Berdasarkan model kualiti yang dibangunkan SIQ (Swedish Institute For Quality), beberapa kursus telah dijalankan kepada pihak pengurusan serta kakitangan sekolah-sekolah berkenaan bagi mengintegrasikan model ini ke dalam aktiviti harian setiap sekolah tersebut. Pada musim sejuk 1995-1996 projek ini dijalankan sepenuhnya dan kajian dimulakan. Kualiti yang dikaji ini dperhatikan kewujudannya di sekolah-sekolah yang berkenaan samada kehadirannya dapat memuaskan keperluan dan kehendak kumpulan-kumpulan yang berkepentingan iaitu pelajar-pelajar, kakitangan sekolah, ibu-bapa dan masyarakat ataupun sebaliknya.

Dimensi kualiti atau tanggapan kualiti yang dimaksudkan oleh keempat-empat kumpulan di atas dihuraikan seperti di bawah;
1. Pelajar-pelajar
Mereka melihat dimensi kualiti pendidikan dalam empat aspek utama iaitu
i. penglibatan – ingin mempunyai pengaruh untuk menentukan pendidikan mereka
ii. keberkesanan – ilmu pengetahuan dan kemahiran pedagogi guru serta peralatan moden diambil kira sebagai aspek penentuan kualiti
iii. keselamatan - persekitaran sekolah yang selamat serta kondusif dilihat sebagai kriteria kualiti
iv. kesejahteraan - sekolah menyeronokkan serta guru yang ceria juga penting bagi menjadikan sekolah berkualiti
2. Ibu-bapa
Ibu-bapa melihat dimensi kualiti dalam lima perkara iaitu
i. penglibatan – mereka ingin dialu-alukan ke sekolah serta ingin menyumbang kepakaran mereka
ii. keberkesanan – melihat aspek ini sebagai hasil daripada sistem sekolah yang berkesan atau berkualiti
iii. komitmen – mahukan guru-guru yang komited serta cintakan profesion mereka sebagai standard kualiti
iv. perhatian – perhatian terhadap keperluan dan kebolehan individu oleh guru-guru penting untuk mencapai tahap kualiti tinggi
v. keselamatan – kebolehan pihak sekolah menangani serta mencegah masalah sosial diperlukan untuk menjadikannya berkualiti
3. Kakitangan sekolah
i. kesejahteraan – hubungan baik dengan semua pihak adalah komponen kualiti yang diambil kira
ii. bermakna – mereka ingin melibatkan diri dalam aktiviti yang berkaitan pembangunan pelajar
iii. keselamatan – dimensi kualiti yang dilihat ialah faktor fizikal serta faktor sosial persekitaran
iv. hormat – ingin dihargai atas sumbangan mereka dan ingin meningkatkan taraf sekolah pada mata masyarakat
4. Masyarakat
i. keberkesanan – melihat sekolah sebagai tempat memberikan ilmu pengetahuan berguna
ii. penglibatan – sekolah disaran untuk menggalakkan pelajar dan ibu-bapa melibatkan diri dalam aktiviti sekolah
iii. kebebasan – pelajar perlu diberi dorongan untuk berfikir secara kritikal
iv. kesamaan – layanan sama rata tanpa mengira jantina, keturunan mahupun latar belakang sosial perlu dipraktikkan
v. persaudaraan – pembentukan akhlak pelajar untuk menjadi warganegara bertanggungjawab, harmoni dan bermasyarakat

Pendapat dan pandangan tentang kualiti di sekolah oleh keempat-empat kumpulan
yang berbeza ini telah dijadikan asas untuk menilai kualiti di empat buah sekolah tersebut. Dapat dilihat persamaan yang jelas di antara kumpulan-kumpulan ini dalam mentakrifkan dimensi kualiti di sekolah mengikut perspektif masing-masing. Ketiadaan percanggahan yang nyata di antara takrifan-takrifan ini mengikut kumpulan-kumpulan tersebut membolehkan aspek-aspek yang disebut dijadikan rangka untuk mengukur dan menilai kualiti di sekolah.

Setelah projek ini dijalankan selama tiga tahun maka keputusan yang diperolehi diumumkan. Terdapat banyak kesan-kesan positif yang ditunjukkan hasil daripada pelaksanaan TQM di sekolah yang dikaji walaupun wujud beberapa kesan negatif.
Antara kesan-kesan positif yang dipaparkan ialah
i. pandangan yang holistik tentang sekolah hasil daripada penilaian beberapa kumpulan menjadikan fungsi sekolah lebih difahami dan diterima umum
ii. hubungan yang lebih mesra dalam semua peringkat khususnya di antara ibu-bapa dengan pihak sekolah membolehkan perkara-perkara yang positif dan negatif berkaitan sekolah dibincangkan bersama
iii. penglibatan yang lebih tinggi daripada kakitangan, pelajar dan ibu-bapa dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah
iv. meningkatkan kerjasama di antara semua pihak di mana kepakaran yang ada di kalangan mereka dipergunakan sepenuhnya untuk membangunkan sekolah
v. kepemimpinan dapat ditingkatkan melalui fungsi pengetua/guru besar sebagai penyokong dan jurulatih kepada orang bawahan
vi. meningkatkan kebolehan untuk menjalankan tindakan yang dirancang
vii. penilaian yang lebih berkesan dan komprehensif dapat dijalankan

Namun begitu wujud beberapa kelemahan dalam penerapan TQM ini di sekolah-
sekolah yang dikaji. Antara kelemahan yang timbul ialah
i. beban kerja yang bertambah kepada kakitangan sekolah pada sesuatu masa
ii. rasa tidak selamat akibat daripada perubahan yang berlaku
iii. kurang sokongan daripada pihak berkuasa tempatan dalam menjayakan sesuatu projek
iv. kesukaran melibatkan kesemua kakitangan dalam sesuatu projek yang dijalankan pada sesuatu masa

Kesimpulan;
Berdasarkan hasil penemuan kajian ini adalah dicadangkan supaya TQM dijalankan di sekolah-sekolah kerana kesan-kesan positif yang dihasilkan dapat meningkatkan kualiti pendidikan sesebuah sekolah. Walaupun wujud beberapa kesan kelemahan dalam kajian ini namun kesan-kesan positif adalah lebih dominan daripada kesan negatif yang ditunjukkan.
Dalam menjalankan TQM di sekolah, suatu aspek penting iaitu penglibatan yang menyeluruh semua golongan yang berkepentingan dalam semua aktiviti sekolah perlu dimaksimumkan bagi mendapat pulangan yang cemerlang. Peranan pengetua/guru besar sebagai contoh kepada kakitangan untuk menjalankan tugas dengan berkesan perlu diberi perhatian yang serius. Ini kerana pengetua/guru besar yang berkesan akan menjadi contoh teladan yang baik kepada semua pihak di sekolah. Kesemua aspek-aspek ini beserta usaha yang gigih akan dapat meningkatkan kualiti sesebuah sekolah yang seterusnya meningkatkan statusnya di mata masyarakat.