Thursday, January 7, 2010

PENETAPAN MATLAMAT SEKOLAH

Matlamat ialah sasaran dan objektif yang ingin dicapai pada masa hadapan. Matlamat yang jelas akan membantu pekerja/guru memberikan perhatian terhadap apa yang ingin dicapai dalam sesebuah organisasi/sekolah. Matlamat yang jelas juga akan menggalakkan penyediaan rancangan yang baik dari segi agihan sumber seperti kewangan, masa dan tenaga yang diperlukan untuk mencapai kejayaan. Matlamat merupakan model motivasi kepada guru-guru di sekolah untuk mengubah tingkahlaku/usaha mereka untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Penetapan matlamat yang jelas merupakan motivasi kepada guru-guru kerana akan wujud perbezaan prestasi kerja semasa dengan apa yang diharapkan oleh pihak pentadbir. Ini akan mewujudkan suasana ketegangan yang dapat dihilangkan selepas matlamat yang diingini tercapai. Mencapai matlamat yang ditetapkan juga dapat memberikan kepuasan kepada individu yang berusaha ke arah pencapaian matlamat itu. Di samping itu penetapan matlamat juga akan mewujudkan persaingan dan ‘self-esteem’ di kalangan individu yang seterusnya meningkatkan pertumbuhan keperluan diri seseorang. Individu yang berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan akan berusaha untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi lagi di masa hadapan. Kesemua ini akan memberikan implikasi positif dalam organisasi seperti sekolah di mana pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum akan dapat ditingkatkan. Penglibatan secara menyeluruh setiap individu dalam organisasi seperti sekolah dalam merangka matlamat dan perancangan sekolah akan menimbulkan perasaan ‘self of belonging’ di kalangan guru-guru yang seterusnya akan memberikan kesan positif terhadap iklim di sekolah. Ini kerana matlamat yang ingin dicapai itu dapat diterima dan jelas kepada mereka. Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila kebanyakan pekerja bekerja lebih keras lagi apabila diberikan matlamat yang sukar dicapai berbanding matlamat yang mudah dicapai seperti yang diterangkan oleh Richard Fann. Justeru itu penetapan matlamat yang sukar tetapi boleh dicapai akan memberikan kesan positif kepada guru-guru untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai matlamat tersebut.
Namun begitu terdapat juga kelemahan di sebalik penetapan matlamat khususnya di sekolah kerana seringkali terjadi penetapan matlamat oleh pentadbir di sekolah hanya ditentukan oleh segelintir pihak sahaja. Ini akan mengakibatkan matlamat yang dingin dicapai itu tidak dapat diterima oleh semua pihak. Seringkali juga terjadi matlamat yang ditetapkan itu tidak jelas dan tidak dapat diukur. Ini menyukarkan guru-guru untuk meningkatkan tahap prestasi kerja mereka ataupun memantau kemajuan diri mereka kerana sasaran kerja yang ingin dicapai itu tidak jelas kepada mereka malah mereka sendiri tidak mengetahui bila matlamat itu tercapai. Semua situasi ini akan menjurus kepada rasa kurang selesa di kalangan guru-guru dan yang lebih kritikal lagi ia akan memberi kesan negatif terhadap pencapaian pelajar-pelajar dalam peperiksaan awam mahupun pertandingan kokurikulum yang disertai.
Penetapan matlamat yang jelas sebelum memulakan kerja tentulah akan mempengaruhi usaha yang dicurahkan oleh individu seperti guru dalam menjalankan rutin seharian. Matlamat yang jelas, dapat diterima dan mencabar tetapi mampu dicapai akan memudahkan guru untuk merancang strategi yang akan dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut. Walaupun fungsi pengurusan yang pertama iaitu ‘planning’ telah ditetapkan oleh pentadbir namun guru-guru perlu merangka perancangan sendiri berdasarkan strategi induk yang dicadangkan kerana terdapat perbezaan kebolehan serta kemampuan di kalangan pelajar-pelajar di sekolah. Matlamat yang jelas dan diterima akan menjadi motivasi kepada guru-guru untuk memberikan fokus terhadap perkara-perkara tertentu serta mengetepikan perkara-perkara yang tidak menguntungkan kepada sekolah.
Dalam konteks profesion perguruan, matlamat yang sering ditentukan oleh pentadbir ialah sasaran pencapaian pelajar-pelajar dalam peperiksaan awam. Walaupun matlamat ini agak jelas dan dapat diukur namun begitu perancangan di peringkat awal selalunya hanya melibatkan segelintir individu seperti Pengetua, Penolong Kanan, Guru Kanan dan Ketua Panitia sahaja. Pandangan daripada guru-guru selalunya tidak diambil kira menyebabkan idea-idea yang bernas dibazirkan dan tidak dapat dipraktikkan di sekolah. Strategi-strategi yang dirangka seringkali tidak menepati kehendak semasa di sekolah malah ada Pengetua yang bersikap autokratik dalam menguruskan pentadbiran di sekolah. Di samping itu walaupun matlamat yang jelas, dapat diterima oleh semua pihak serta mencabar telah dirancang namun perkara asas dalam pengurusan iaitu pemantauan(monitoring) seringkali diabaikan. Pemantauan akan menyedarkan guru-guru terhadap peranan yang dimainkan oleh mereka dalam usaha untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Pemantauan yang dapat dilakukan di sekolah berbentuk pemantauan pentadbir terhadap guru dan pelajar serta pemantauan guru terhadap pelajar. Pemantauan yang konsisten akan memberikan maklumbalas terhadap kemajuan sesuatu perkara/program yang berjalan. Pemantauan prestasi guru-guru juga perlu dijalankan kerana terdapat guru-guru yang sentiasa ingin mengetahui tahap prestasi mereka dari semasa ke semasa. Kesemua faktor-faktor yang disebutkan di atas jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh di sekolah akan memberikan pulangan hasil yang membanggakan kepada pihak sekolah.
Rumusan yang dapat diambil dari perbincangan di atas ialah penetapan matlamat yang jelas, boleh diterima serta mencabar merupakan aspek penting dalam menetukan kejayaan sesebuah organisasi seperti sekolah. Justeru itu pihak pentadbir perlu bijak merancang pentadbiran sesebuah sekolah selaras dengan matlamat yang ingin dicapai.

No comments:

Post a Comment