Thursday, January 7, 2010

KRITIKAN ARTIKEL - TQM DALAM PENGURUSAN PENDIDIKAN

Total Quality Management In Education:
Problems And Issues For The Classroom Teacher
Oleh
Lachlan E.D. Crawford & Paul Shutler


Pendahuluan:
‘TQM’ (Total Quality Management) yang begitu berjaya dilaksanakan dalam sektor perindustrian di Jepun menjadi begitu popular sebagai strategi peningkatan kualiti dalam sektor swasta di Amerika, UK dan Kanada pada tahun 1980an. Kejayaan yang dicapai dalam sektor ini telah mendorong sektor awam seperti kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan lainnya mengikuti jejak ini bagi meningkatkan kualiti serta produktiviti sektor masing-masing. Pelaksanaan TQM dalam bidang pendidikan telah menemui berbagai rintangan kerana anjakan paradigma yang ingin dibawa ini tidak mudah diterima oleh golongan yang terlibat di dalam bidang ini. Bermula daripada kefahaman tentang TQM yang berbeza-beza, strategi pelaksanaan TQM yang berbeza sehinggalah kepada cadangan sekolah yang sesuai untuk mempraktikkan TQM juga berlainan di kalangan ahli-ahli pendidikan telah mewujudkan aliran pemikiran yang berbeza tentang TQM dalam pendidikan.
Dua aliran pemikiran yang berbeza berdasarkan model Deming dan Crosby dibincangkan oleh penulis(Lachlan E.D. Crawford dan Paul Shutler) dalam artikel ini. Bermula dengan aspek kefahaman tentang maksud TQM, kaedah pengajaran, sistem operasi sehinggalah kepada kelemahan-kelemahan model-model ini dibincangkan oleh penulis. Walaupun wujud persamaan di antara kedua-dua model ini dari segi peranan TQM sebagai suatu kaedah untuk meningkatkan kualiti namun dalam aspek yang lain Deming dan Crosby menunjukkan perbezaan pendapat.



Kritikan:
Kedua-dua penulis telah melihat persamaan di antara model Deming dan model Crosby pada dasarnya dari segi peranan yang dimainkan oleh TQM sebagai suatu kaedah yang berkesan untuk meningkatkan kualiti. Berbanding dengan sektor perkilangan di mana kualiti produk bermaksud kualiti barangan yang dihasilkan tetapi dalam bidang pendidikan penulis tidak menghuraikan secara terperinci apakah yang dimaksudkan sebagai produk. Mete B. Sirvanci menyatakan bahawa mengenalpasti pelanggan merupakan langkah yang kritikal di dalam TQM. Mengikut model Crosby penulis melihat produk dalam bidang pendidikan lebih menjurus kepada pelajar-pelajar kerana keputusan peperiksaan itu dijadikan ukuran standard kualiti bagi model ini. Pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan dilihat sebagai mencapai tahap kualiti yang tinggi mengikut model ini. Bagi model Deming pula penulis melihat produk dalam bidang pendidikan sebagai suatu kaedah pengajaran kerana ukuran kualiti produk dinilai berdasarkan kesempurnaan sistem pengajaran yang beroperasi. Kesempurnaan sistem pengajaran yang beroperasi dianggap mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang tinggi kualitinya. Kelemahan kedua-dua model ini kerana hanya melihat kualiti di dalam bidang pendidikan berkaitan dengan pelajar dan guru sahaja sedangkan kumpulan pelanggan yang lain diketepikan. Standard kualiti berdasarkan kepuasan hati kumpulan pelanggan lain seperti yang ditakrifkan oleh Stefan Lagrosen iaitu kumpulan pelajar, kakitangan sekolah, ibu-bapa serta masyarakat tidak tidak diambil kira menyebabkan aspek-aspek seperti hubungan, penglibatan, keselamatan serta keselesaan tidak diberikan perhatian dalam mengukur kualiti di dalam pendidikan.

Fokus untuk mencapai ‘zero defect’ menjadikan model Crosby agak statik dari segi standard kualiti yang ditetapkan sedangkan pembangunan kualiti dalam pendidikan sentiasa berubah selaras dengan anjakan paradigma yang berlaku. Dalam konteks ini model Deming yang memfokuskan kepada peningkatan kualiti sepanjang masa dilihat lebih relevan dengan situasi pendidikan sekarang. Standard kualiti keputusan peperiksaan yang sentiasa meningkat, teknik pengajaran yang semakin meningkat, penggunaan peralatan mengajar yang lebih canggih, penggunaan peralatan ICT di dalam pengajaran, suasana pembelajaran yang lebih kondusif di mana prasarana yang lebih selesa disediakan adalah bukti kepada standard kualiti di dalam bidang pendidikan yang sentiasa berubah dan bukannya statik seperti yang dicadangkan mengikut model Crosby.

Dalam aspek operasi pula model Crosby menekankan kepada komponen setiap sistem operasi di dalam sistem pengeluaran perlu diberi tumpuan agar semua komponen dapat berfungsi dengan baik bagi menghasilkan produk ‘zero defect’. Setiap komponen di dalam sistem operasi dilihat sebagai ‘total’ yang bermaksud TQM. Jika diterjemahkan ke dalam bidang pendidikan, sistem operasi yang ‘total’ ini bukanlah satu jaminan untuk menghasilkan pelajar yang ‘zero defect’ ataupun cemerlang di dalam peperiksaan sebagaimana yang ditekankan oleh Crosby. Peranan ibu-bapa di rumah serta pengaruh masyarakat setempat juga memainkan peranan yang besar dalam proses untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang ini. Peranan sekolah agak terbatas kerana masa pelajar berada di sekolah hanyalah sekitar satu pertiga jumlah masa dalam sehari waktu persekolahan. Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah ‘sekolah bukan kilang’ sebagaimana disebut oleh Myron Tribus dalam artikelnya ‘Quality Management In Education’.

Model Deming tidak melihat TQM sebagai satu proses penilaian terhadap setiap pelajar sebaliknya menyarankan supaya sistem operasi perlu ditingkatkan untuk memperbaiki kecacatan produk Namun begitu TQM yang berfungsi sebagai alat diagnostik di sini bukanlah satu-satunya jawapan kepada kaedah untuk meningkatkan kualiti di dalam pendidikan. Ini kerana peningkatan dari segi pedagogi, peralatan, infrastruktur, kandungan pelajaran, keselamatan di sekolah sahaja tidak mencukupi untuk meningkatkan standard kualiti dalam pendidikan. Kebolehan pelajar untuk menjadi warganegara yang baik sahsiahnya serta dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara di masa hadapan adalah ukuran kepada standard kualiti yang lebih luas. Sistem pendidikan yang beroperasi sekarang akan menunjukkan kualiti produknya yang sebenar dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang. Contohnya di Malaysia dengan menghapuskan penulisan jawi di sekolah rendah pada zaman Khir Johari maka kesannya itu mula dirasai selepas 15 hingga 20 tahun pelaksanaannya.

Pelaksanaan TQM dalam bidang pendidikan mengikut model Crosby dan Deming hanya berorientasikan kepada pelajar, guru dan sistem pengajaran. Crosby dan Deming memfokuskan kepada mengenalpasti punca kegagalan pelajar dan seterusnya mengatasi punca kegagalan melalui sistem pengajaran yang terdiri daripada kaedah berpusatkan pelajar, kaedah pemulihan, program peningkatan akademik, teknik menjawab soalan, program pemberian ganjaran dan lainnya. Perkaitan di antara penggubal dasar dengan kualiti pendidikan tidak disentuh oleh mereka sedangkan penggubal dasar memainkan peranan yang sangat besar malah menjadi masalah dan isu kepada guru-guru di dalam kelas. Contohnya di Malaysia penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains telah menjadi masalah kepada guru-guru dan pelajar walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menjayakan dasar ini. Kekerapan sesuatu dasar ditukar akan memberikan kesan kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang seterusnya akan mempengaruhi kualiti dalam bidang pendidikan.

Kelemahan-kelemahan strategi berdasarkan model Crosby sebagaimana disebut oleh penulis berkisar kepada orientasi peperiksaan terhadap pelajar. Peperiksaan dianggap segala-galanya dan kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan adalah penanda aras kualiti yang sempurna. Semua strategi yang dirancang dan dilaksanakan adalah bagi merealisasikan tujuan mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan sahaja. Aspek sahsiah, disiplin serta nilai-nilai murni yang diperlukan untuk menjadi insan yang berkualiti di masa hadapan tidak diberikan tumpuan. Bagi model Deming pula strategi pelaksanaan yang memfokuskan kepada perubahan dalam sistem pengajaran mempunyai kelemahan dari aspek penerimaan oleh pelajar dan guru. Perubahan sukar diterima dan beban kerja yang bertambah dilihat sebagai batu penghalang untuk melaksanakannya di sekolah. Tumpuan terhadap sistem operasi di dalam bilik darjah sahaja tidak akan menjamin kecemerlangan modal insan yang ingin dihasilkan kerana pengaruh luar yang mempunyai daya tarikan lebih kuat akan menghalang usaha ini

Kesimpulan:
Masalah dan isu kepada guru-guru di dalam bilik darjah bukanlah berkaitan dengan pengajaran dan kecemerlangan akademik sahaja. Masalah dan isu yang lebih kompleks sebenarnya bermula daripada luar sekolah di mana ibu-bapa, masyarakat, penggubal dasar, ahli politik, agensi kerajaan dan lainnya mempunyai pengaruh terhadap kualiti pendidikan yang berlaku di sekolah. Dengan menumpukan kepada TQM untuk menghasilkan keputusan cemerlang dan peningkatan operasi pengajaran di dalam bilik darjah sahaja bukanlah jaminan untuk mencapai kualiti pendidikan yang cemerlang. Kualiti di dalam pendidikan perlu dilihat dalam skop yang lebih luas di mana pelajar yang dihasilkan akan berperanan sebagai anggota masyarakat hasil daripada didikan yang diperolehi di sekolah dan di luar sekolah. Justeru itu untuk meningkatkan kualiti di dalam pendidikan maka usaha yang menyeluruh bukan sahaja perlu dilakukan di sekolah tetapi keseluruhan aspek kehidupan perlu diberi perhatian yang serius.

No comments:

Post a Comment