Saturday, May 29, 2010

SEMINAR MENANGANI CABARAN WAWASAN 2020: KE ARAH PEMBENTUKAN PARADIGMA BARU PERKHIDMATAN AWAM (PM OFF THE CUFF)

Date: 08-02-1994
Speaker: DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

UCAPAN OLEH: DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
( PERDANA MENTERI )
UPACARA: SEMINAR MENANGANI CABARAN WAWASAN 2020: KE ARAH PEMBENTUKAN PARADIGMA BARU PERKHIDMATAN AWAM (PM OFF THE CUFF)
TEMPAT: PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, (PWTC) KUALA LUMPUR
TARIKH: 08 FEB 1994
MASA:

Saya mengucapkan terima kasih kepada INTAN kerana
menjemput saya untuk menyampaikan pandangan saya kepada
peserta-peserta seminar yang terdiri daripada
Pegawai-pegawai Tinggi Perkhidmatan Awam pada hari ini.
2. Sepertimana yang diketahui kita telah pun
mengenengahkan Wawasan 2020 sebagai satu arah yang dituju,
sebagai dorongan bagi pembentukan mental, sebagai falsafah
pembangunan, sebagai asas perancangan dan sebagai panduan
prilaku kita, bagi menentukan kita akan menjadi sebuah
negara yang benar-benar maju dan dihormati. Dengan
ringkasnya Wawasan 2020 adalah asas kepada pembentukan
budaya bangsa yang berupaya menangani perubahan dan cabaran
serta mempelopori perubahan dan kemajuan.
3. Untuk membentuk sebuah negara maju, pemimpin-pemimpin
dan pentadbir serta semua lapisan masyarakat perlu berupaya
membezakan antara nilai yang baik dan yang buruk bagi kita.
Apa yang datang dari negara maju tidak semestinya sesuai
untuk kita. Banyak daripada nilai-nilai lama dan tradisi
bangsa kita seperti perhubungan kekeluargaan, semangat
bantu-membantu dan sifat hormat-menghormati masih relevan
dan baik untuk masa depan kita.
4. Kita perlulah berupaya menggabungkan nilai baik dan
positif daripada tradisi kita dengan nilai moden yang sesuai
dengan kemajuan kita di samping tidak bercanggah bahkan
dituntut oleh agama kita.
5. Sejarah tamadun manusia menunjukkan bahawa kemajuan
bangsa dan negara dipengaruhi oleh banyak faktor. Di antara
yang penting ialah: kepimpinan yang baik yang dibantu oleh
penasihat-penasihat dan pegawai-pegawai yang mempunyai
sifat-sifat yang sesuai dengan pembangunan negara. Sesuatu
tamadun tidak akan bertahan lama sekiranya pemimpin-
pemimpin, penasihat-penasihat, pentadbir-pentadbir dan
seluruh masyarakat tidak dapat bekerjasama, tidak mempunyai
penyatuan pemikiran dan tidak berjuang untuk menegakkan
keutuhan tamadun tersebut.
6. Sebagai penjawat jawatan-jawatan awam tuan-tuan dan
puan-puan merupakan satu komponen penting untuk menentukan
wawasan kita dicapai di tahap ataupun yang melebihi daripada
matlamat yang kita gariskan. Sebagai penjawat jawatan awam
tuan-tuan dan puan-puan merupakan faktor penting dalam
memberi nasihat, merancang dan melaksanakan matlamat
pembangunan yang telah kita bentuk. Walaupun dipisah
daripada kepimpinan politik daripada segi organisasi,
pegawai-pegawai awam perlu berpegang kepada prinsip dan
matlamat yang sama dengan kepimpinan semasa.
7. Sebagai pasukan yang berpengalaman dalam kerajaan,
pegawai awam mestilah berupaya memberi nasihat yang bernas,
berani menegakkan kebenaran dan sanggup bekerja lebih keras.
Nasihat yang baik hanya datang daripada pegawai yang
progresif, berpengetahuan tinggi, bersemangat dan bersifat
positif terhadap segala cabaran.
8. Malaysia adalah sebuah negara dagangan atau `trading
nation'. Kita tidak mungkin mencapai tahap pembangunan
sekarang jika tidak kerana kita cekap berdagang. Pasaran
tempatan adalah terlalu kecil untuk pembangunan yang kita
cita-citakan.
9. Negara dagangan perlu bersaing atau `compete' dalam
pasaran dunia. Jika kita tidak cekap dan pintar tidak
mungkin kita dapat bersaing dengan jayanya. Kecekapan dan
kepintaran bukan sahaja diperlukan oleh swasta tetapi oleh
pentadbir dan pentadbiran juga. Jika pentadbir tidak cekap
kos pengeluaran semua barangan kita akan meningkat. Betapa
tidak? Satu daripada pengawal kos ialah kepantasan
mengeluarkan barangan atau khidmat. Pentadbiran yang tidak
cekap dan tidak pintar akan melambat dan menghalang
pengeluaran barangan atau pemberian khidmat. Dan kelewatan
akan menaikkan kos.
10. Jika pentadbir bersikap negatif, maka idea baru tidak
akan mendapat layanan. Ini sudah tentu akan membekukan
proses pembangunan kerana idea-idea baru dicipta sepanjang
masa dalam perusahaan dan perniagaan oleh pihak swasta.
Demikian juga dengan pentadbiran. Cara-cara baru
diperkenalkan hampir setiap hari. Jika semuanya ditolak
atau masa yang panjang diguna untuk menilai dan menerima
sesuatu idea baru, maka kos pentadbiran dan dengan itu kos
pengeluaran akan meningkat dan kita akan hilang daya saing
kita.
11. Di zaman dahulu pentadbir hanya menjalankan tugas
yang ditetapkan baginya. Kebanyakan kerja adalah 'routine'
yang berulang-ulang. Apa yang menyusul atau menjadi
hasil kerja tidak mengapa. Yang relevan ialah `so much work
has been done in so much time for so much pay'. Apabila
sampai masanya pentadbir akan bersara. Tidak ada penyertaan
secara sedar oleh pihak pentadbir dalam kejayaan negara.
12. Hari ini keadaan sudah berubah. Pentadbir perlu tahu
bahagian yang dimainkan olehnya dalam produk yang dihasilkan
oleh Negara. Nilai produk itu, sama ada kepada Kerajaan
atau swasta, perlu diketahui dan dengan pengetahuan itu
pentadbir bertanggungjawab untuk mengurangkan kos dan
meningkatkan kualiti barangan yang dikeluarkan. Menyusuli
sumbangannya kepada produk ialah sumbangannya kepada
kemakmuran negara. Sudah tentu jika sumbangannya membantu
kemakmuran negara ia sebenarnya membantu diri sendiri. Oleh
itu pandangan seseorang pentadbir di zaman ini tidak terhad
kepada tugas yang sedikit yang didepannya. Tugasnya sudah
menjadi lebih luas dan meliputi akhirnya maju-mundur
negaranya.
13. Zaman pendapat bahawa kos pentadbiran tidak ada kena-
mengena dengan kos produk oleh swasta dan seterusnya kos
sara hidup rakyat sudah berakhir. Menaikkan cukai bukan
caranya untuk membiayai pentadbiran. Sebaliknya cukai harus
diturunkan supaya kos juga menurun untuk membolehkan segala
produk lebih berdaya saing dan laris. Daripada peningkatan
jumlah produk yang dipasar, kita berharap akan dapat
menaikkan jumlah cukai untuk membiayai pentadbiran. Justeru
itu, pentadbir yang cekap dan dapat menyumbang kepada
pengurangan kos sebenarnya menyumbang kepada kemewahan
negara dan hidupnya sendiri.
14. Jika kita sudah faham dan terima hakikat ini,
maka mudahlah kita memperluas paradigma kita. Tidak lagi
akan kita percaya bahawa bukan sahaja kebolehan kita sendiri
terhad tetapi kemampuan negara kita juga terhad. Tidak lagi
akan kita fikir bahawa menjadikan negara kita negara maju
atau `developed nation' adalah mustahil. Sebenarnya kita
mampu dan negara juga mampu. Ada negara Eropah yang sudah
maju yang tidak lebih besar daripada segi kawasan atau
penduduk atau sumber alam dari Malaysia. Rakyat mereka juga
bukan lebih pandai atau mempunyai kualiti yang terhad kepada
mereka sahaja. Segala-gala yang ada pada mereka ada pada
kita. Hanya kita tidak membangunkan kualiti ini atau
menggunakannya dengan sepenuh.
15. Manusia adalah `a creature of habit' iaitu manusia
dikuasai oleh tabii mereka. Tabiat bukan sesuatu yang
semula jadi. Ia adalah sesuatu yang dicipta dan dipupuk
oleh individu atau masyarakat. Ia menjadi sebahagian
daripada budaya masyarakat atau bangsa itu.
16. Tidak ada sesuatu yang mempengaruhi pencapaian sesuatu
masyarakat lebih daripada budaya masyarakat itu. Demikian
juga dengan individu. Faktor sumber alam, iklim dan alam
sekitar mempunyai kesan terhadap maju mundurnya sesuatu
masyarakat tetapi tidak seperti budaya. Bahkan budaya boleh
mengatasi kebaikan atau keburukan faktor-faktor lain. Sebab
itu daripada kumpulan ethnik yang sama, ada kelompok yang
berjaya dan ada yang mundur. Dan negara yang kaya sumber
alamnya boleh menjadi mundur dan sebaliknya yang kekurangan
sumber alam boleh menjadi maju. Faktor yang memainkan
peranan utama ialah budaya.
17. Budaya kerap terbentuk tanpa apa-apa usaha oleh
seseorang individu atau sesuatu masyarakat atau bangsa.
Tetapi budaya boleh juga dibentuk dan dipupuk secara
sengaja. Budaya boleh diperbaiki supaya ia dapat
menghapuskan unsur-unsur yang buruk dan mengembangkan unsur-
unsur yang baik. Dalam usaha pembentukan budaya inilah
paradigma memainkan peranan yang amat penting.
18. Jika seseorang individu atau bangsa mempunyai
kepercayaan bahawa kebolehannya adalah terhad, bahawa ia
tidak boleh meningkat atau memperluaskan lagi kemampuannya,
maka sudah tentu ia tidak mungkin membuat sesuatu yang di
luar daripada paradigmanya. Soalnya ialah apakah paradigma
yang diakui olehnya benar-benar paradigma baginya atau
bangsanya atau apakah ini hanya satu persepsi sahaja?
19. Demikian di zaman penjajah pemikiran bangsa yang
dijajah terkongkong sehingga mereka percaya bahawa mereka
tidak mampu mentadbir negara mereka sendiri. Sesuatu
peristiwa atau seseorang individu diperlukan untuk memecah
tembok paradigma ini untuk meyakinkan bangsa itu bahawa
mereka mampu dan boleh. Dengan perubahan pemikiran ini maka
kemerdekaan dapat dituntut dan dicapai.
20. Biasanya masa yang panjang diperlukan untuk penerimaan
perluasan paradigma ini. Setelah perluasan paradigma ini
diterima, maka barulah pemikiran berubah. Secara langsung
ia menolong menyediakan sifat-sifat yang diperlukan untuk
tugas, tanggungjawab dan peranan yang akan dimainkan dalam
arena yang lebih luas dan lebih mencabar hasil perubahan
batasan paradigma yang lama.
21. Di zaman penjajahan, kepercayaan disemai bahawa
peranan jajahan takluk ialah mengeluarkan bahan mentah yang
mesti dieksport ke negara metropolitan untuk diproses.
Pemerosesan ini digambarkan sebagai begitu canggih dan
kompleks sehingga ianya tidak mungkin dibuat oleh penduduk
di negeri yang dijajah. Dan pendapat ini diterima dan
menjadi paradigma bukan sahaja oleh mereka yang dijajah
tetapi penjajah juga. Sementara kemerdekaan dapat dicapai,
paradigma ini masih dapat menyekat kemajuan negara yang
telah dibebaskan. Secara tidak langsung negara yang telah
merdeka ini kekal sebagai 'colony' kepada penjajah dahulu.
Dan selagi paradigma ini tidak dapat ditembusi dan
perenggannya diperluaskan, penjajahan akan kekal.
22. Fenomena paradigma yang menakluk pemikiran, dan dengan
itu kemampuan, berada di mana-mana sahaja. Tetapi di negara
maju paradigma mereka amat luas. Manusia tidak mungkin
mencipta pesawat terbang dan kapal angkasa jika tidak kerana
mereka mempunyai paradigma yang luas. Apabila mereka
percaya bahawa mereka boleh terbang maka mereka pun mula
memikirkan cara-cara untuk berterbang. Sekali lagi mereka
menghadapi satu lagi paradigma, iaitu penerbangan hanya
boleh dilakukan jika manusia mempunyai sayap yang boleh
mengepak seperti burung. Jika pemikiran seperti ini kekal
maka manusia mungkin tidak boleh terbang sehingga sekarang.
Tetapi ada orang yang tidak terkongkong dengan kepercayaan
ini. Mereka ini mendapati bahawa sesuatu yang berat boleh
melawan `gravity' jika ia bergerak dengan cukup pantas.
Sebenarnya ketul batu boleh terbang jika dibaling dengan
cukup kuat. Soalnya ialah bagaimana sesuatu benda itu dapat
bergerak dengan pantas dengan tenaganya sendiri? Apabila
enjin dapat memutar kipas yang menarik pesawat dengan cukup
pantas maka penerbangan menjadi kenyataan bagi manusia.
Semua ini boleh berlaku kerana ada orang yang tidak menerima
paradigma yang lama. Tetapi paradigma yang baru juga
diperluaskan sehingga manusia boleh mendarat di atas bulan.
23. Pengajaran daripada ini ialah setiap orang,
setiap bangsa, setiap negara boleh maju lebih daripada yang
dijangkakan jika sesuatu paradigma itu diperluaskan.
Apabila kita mencipta Wawasan 2020 dan mengumumkan bahawa
kita ingin menjadi negara maju, kita telah membesarkan
paradigma untuk negara kita. Paradigma baru ini diterima
oleh semua organisasi dan lapisan rakyat, oleh Kerajaan dan
swasta dan oleh individu dan kumpulan daripada semua
keturunan dan semua peringkat masyarakat. Penerimaan ini
sahaja telah berjaya membebaskan fikiran dan sikap kita
daripada kongkongan psikologi lama. Ia memberanikan kita
memasuki bidang-bidang yang dahulu dianggap sebagai di luar
kemampuan kita. Dan kita terkejut apabila kita dapati
bahawa kita berupaya, bahkan berupaya mencapainya dengan
cemerlang. Demikianlah kesan paradigma.
24. Hari ini kita percaya bahawa menjadi negara maju bukan
lagi angan-angan yang keterlaluan. Kita telah lihat hasil
awal perubahan paradigma yang kita cipta. Mungkin ia belum
sampai matlamat, tetapi kemungkinannya ada. Perubahan
paradigma negara memerlukan perubahan paradigma bagi
Kerajaan dan anggotanya di semua lapisan. Sudah tentu
pegawai-pegawai mempunyai peranan yang kritikal. Mereka
mesti menentukan paradigma mereka. Untuk ini:
Pertama : Mereka perlu faham peranan paradigma
dalam menentukan pencapaian diri mereka
sendiri, selain daripada pencapaian
negara.
Kedua : Mengenalpasti bidang-bidang yang
perluasan paradigma diperlukan dan
menerima paradigma yang baru.
Ketiga : Mereka perlu melengkapkan diri mereka
dengan pengetahuan dan kecekapan sesuai
dengan paradigma baru ini serta penuh
yakin bahawa mereka mempunyai
kebolehan.
Keempat : Di mana sahaja pertukaran pendekatan
diperlukan, mereka harus membuat
pertukaran ini, termasuklah penghapusan
sikap terasing dari masyarakat dan
swasta yang menjadi pelanggan mereka.
Piagam pelanggan mesti diterima
sepenuhnya.
Kelima : Pegawai-pegawai awam perlu sentiasa
memikir akan hasil dan sumbangan mereka
kepada masa depan dan tidak hanya
memikir akan sumbangan hari ini untuk
hari ini.
Keenam : Sementara setiap pegawai sebagai
individu boleh menyumbang kepada
kejayaan segala usaha, mereka harus
sedar bahawa sumbangan sebagai anggota
pasukan adalah lebih berkesan dalam apa
juga usaha. Oleh itu mereka harus
mengutamakan kerjasama yang
berkoordinasi dalam pasukan bagi
menembusi paradigma lama dan memasuki
paradigma baru.
25. Ekonomi kita kebelakangan ini telah berkembang dengan
pesat dalam keadaan inflasi yang rendah. Rata-rata kita
lihat pembangunan dan kemajuan. Banyak negara ingin
mencontohi kejayaan kita. Dalam pada itu, kita tidak harus
berpuas hati dengan kejayaan kita ini. Kita perlu berusaha
supaya kejayaan kita dapat terus dikekalkan. Malah kita
perlu terus berusaha dan bekerja keras untuk meningkatkan
lagi kejayaan hari ini dan untuk menempa kejayaan hari esok.
26. Tanpa usaha yang berterusan kejayaan hari ini tidak
akan dapat menjamin kejayaan di masa hadapan. Tanpa usaha
yang berterusan mungkin kita akan mengalami satu era di mana
kegigihan untuk bekerja kuat, bermotivasi tinggi, berdaya
kreatif dan inovatif akan mula pudar dan lebih buruk, lenyap
sama sekali.
27. Oleh itu kita mesti sentiasa berusaha untuk
memperkayakan minda, pemikiran dan tingkah laku kita supaya
tidak terjebak dalam budaya 'complacent' dan berpuas hati.
Kita perlu sentiasa memperluas dan memperbesarkan paradigma
kita serta berusaha untuk memenuhi paradigma yang baru
kerana kita yakin kita memiliki kemampuan yang lebih dari
sekarang.
28. Akhir sekali, saya berharap seminar ini dapat
memperluaskan paradigma kita dan menyediakan pemikiran kita
untuk matlamat yang lebih tinggi daripada yang kita percaya
menepati paradigma sekarang. Insya-Allah kita akan mencapai
matlamat Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment