ASPIRASI MURID DALAM PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM)
Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi
sepenuhnya. Setiap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, dan masyarakat mempunyai
peranan penting dalam memastikan generasi muda ini mencapai aspirasi yang diharapkan.
Pelan Pembangunan Pendidikan akan terus menterjemahkan semangat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas mencapai
aspirasi murid. Perkara ini selari dengan maklum balas daripada Dialog Nasional. Pelan
Pembangunan Pendidikan ini juga mengambil pengajaran daripada sistem pendidikan
berprestasi tinggi bagi membangunkan unsur murni dan kecekapan tertentu yang
diperlukan oleh murid untuk berjaya dan berkembang maju dalam dunia global yang
semakin mencabar.
Sehubungan itu, semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tentang pendidikan seimbang
merangkumi enam elemen (Ekshibit 2-3). Elemen ini bukan sahaja menekankan
kepentingan pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran
kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin; kemahiran dalam bahasa Malaysia
dan bahasa Inggeris; sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional yang kuat. Elemen
ini turut memberi penekanan kepada usaha bagi membolehkan semua murid memberikan
sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara.
1. Pengetahuan
Pada peringkat paling asas, setiap murid perlu memiliki keupayaan
literasi dan numerasi sepenuhnya. Aspek ini melengkapkan mereka
dengan kemahiran hidup asas, serta berfungsi secara berkesan dalam
masyarakat bagi membolehkan mereka memupuk nilai untuk diri
sendiri, masyarakat, dan negara. Di samping itu, penting bagi murid
menguasai mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa
Inggeris, Matematik, Sains, dan Sejarah. Sebagai murid yang serba
boleh, mereka juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat dan
pengetahuan dalam bidang lain, seperti seni, muzik, dan sukan. Selain
pengetahuan dalam bidang ini, murid juga perlu mempunyai kemahiran
mengaplikasi pengetahuan ini dalam situasi harian.
2. Kemahiran Berfikir
Setiap murid perlu mempunyai semangat ingin tahu, dan belajar cara
untuk terus mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat, mampu
menghubung kait pelbagai pengetahuan, dan yang paling penting dalam
ekonomi berasaskan pengetahuan ialah mewujudkan pengetahuan
baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif
yang penting:
▪ Pemikiran Kreatif dan Inovatif: kemampuan menginovasi,
menjana kemungkinan baharu, dan mencipta idea atau pengetahuan
baharu;
▪ Penyelesaian Masalah dan Penaakulan: keupayaan meramal
masalah dan mendekati isu secara kritis, logik, induktif, dan deduktif
bagi mencari penyelesaian, dan akhirnya membuat keputusan; dan
▪ Keupayaan Belajar: keupayaan memacu pembelajaran sendiri,
dengan kemampuan menghargai nilai pembelajaran sepanjang hayat.
Sejarah membuktikan bahawa sistem pendidikan memerlukan
penambahbaikan bagi membolehkan murid yang kurang mam
mengaplikasi pengetahuan serta berfikir secara kritis di luar konteks
akademik biasa. Sehubungan itu, sistem pendidikan menjadi lebih
penting bagi membantu setiap murid memperoleh kemahiran berfikir.
3. Kemahiran memimpin
Kemampuan bekerja dengan berkesan dan memimpin orang lain adalah
penting, terutamanya dalam dunia yang semakin saling bergantung.
Dalam Dialog Nasional, kepentingan memupuk kepimpinan dan
keupayaan bekerja secara berkesan dalam satu pasukan bagi setiap
murid sering dibangkitkan. Sistem pendidikan berusaha membantu
setiap murid mencapai potensi penuh mereka melalui pelibatan sebagai
pemimpin, serta bekerja dalam kumpulan. Dalam konteks sistem
pendidikan, kepimpinan mempunyai empat unsur:
▪ Keusahawanan: mengambil inisiatif untuk mewujudkan dan
membangunkan penyelesaian sendiri, dan bagi tujuan itu sanggup
membuat pelaburan daripada sumber sendiri, serta terdorong untuk
memastikan penyelesaian itu dizahirkan;
▪ Berdaya tahan: membangunkan cara berfikir yang konstruktif serta
mampu menghadapi rintangan;
▪ Kecerdasan emosi: berupaya memahami dan bekerja secara
berkesan dengan orang lain serta mampu mempengaruhi mereka
secara positif; dan
▪ Keterampilan komunikasi: berupaya memberikan pendapat dan
hasrat secara lisan dan bertulis dengan jelas.
Sekolah perlu menggunakan peluang yang disediakan di dalam bilik
darjah melalui aktiviti berasaskan projek dan kerja kumpulan, aktiviti di
luar bilik darjah melalui sukan, seni, serta aktiviti kokurikulum dalam
membangunkan keperibadian murid.
4. Kemahiran Dwibahasa
Setiap kanak-kanak menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa
kebangsaan, dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa
komunikasi antarabangsa. Setiap kanak-kanak juga berpeluang
mempelajari bahasa tambahan.
Kepelbagaian Malaysia yang unik dan warisan berbilang budaya
memberikan kelebihan daya saing kepada semua. Oleh itu, dalam jangka
masa tertentu, semua murid dari semua kumpulan etnik dan komuniti
digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya tiga bahasa (bahasa
Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa lain seperti bahasa Mandarin, bahasa
Tamil, dan bahasa Arab, serta bahasa ibunda lain seperti bahasa Iban
dan bahasa Kadazan Dusun) bagi membolehkan mereka bekerjasama
dan berkomunikasi secara berkesan dengan rakan dalam kalangan rakyat
Malaysia dan juga negara jiran dalam dunia global masa kini.
5. Etika dan Kerohanian
Sistem pendidikan akan mempersiapkan setiap murid supaya berani
menghadapi cabaran masa depan, menyelesaikan konflik secara aman,
membuat keputusan yang wajar dalam situasi kritikal, dan mempunyai
keberanian melakukan apa yang betul. Penekanan diberikan kepada setiap
murid dengan mewujudkan satu set prinsip, termasuk nilai bersama yang
kukuh yang didukung oleh semua rakyat Malaysia:
▪ Kerohanian: mempunyai pegangan agama yang kuat dan
mengamalkannya sebagai asas hidup, serta mendukung standard moral
yang tinggi;
▪ Integriti: mempunyai keberanian, disiplin, dan semangat untuk
melakukan perkara yang betul; dan
▪ Tanggungjawab sivik: bertindak untuk kebaikan negara, mengambil
berat terhadap orang lain dan alam sekitar, dan memiliki keupayaan
yang mendalam untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.
6. Identiti Nasional
Rakyat Malaysia perlu mempunyai perasaan tidak berbelah bahagi
tentang identiti nasional, berpegang teguh dengan prinsip Rukunegara
untuk perpaduan dan masa depan Malaysia. Setiap murid tanpa mengira
etnik, kepercayaan, taraf sosioekonomi atau tempat berbangga menjadi
rakyat Malaysia. Pencapaian matlamat patriotisme ini memerlukan
semangat keterangkuman yang diperoleh dengan belajar memahami
perbezaan dan bertolak ansur, menerima dan menghormati orang lain,
dan juga untuk hidup bersama dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Identiti nasional juga memerlukan setiap murid memahami sejarah
Malaysia, berkongsi pengalaman dalam dan luar sekolah, dan berkongsi
aspirasi untuk masa depan Malaysia.
No comments:
Post a Comment