Friday, December 4, 2009

PERMOHONAN KEMASUKAN KE TINGKATAN 1 MRSM 2010

MAJLIS AMANAH RAKYAT
(Agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah)

PERMOHONAN KEMASUKAN KE MAKTAB RENDAH SAINS MARA
TINGKATAN SATU TAHUN 2010
SEMENANJUNG MALAYSIA

MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA) mempelawa pelajar TAHUN ENAM 2009 untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA tingkatan satu pada tahun 2010 di Semenanjung Malaysia.
Pada tahun 2010, MARA akan membuat pengambilan pelajar tingkatan 1 bagi mengikuti program MRSM (Agama) Ulul Albab yang akan dilaksanakan di MRSM Kota Putra dan MRSM Gemencheh.
Sistem pendidikan MRSM (Agama) ini merangkumi Pengajian Al-Quran (Hafazan), Bahasa Arab dan bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Jepun selain subjek teras seperti yang sedia ada di MRSM.

A. SYARAT-SYARAT KELAYAKAN :
SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MASUK KE MRSM :
. 1. Warganegara Malaysia.
2. Permohonan ini terbuka kepada pelajar yang bersekolah di Semenanjung Malaysia :
(i) Bumiputera tahun enam.
(ii) Bukan Bumiputera tahun enam yang sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Kebangsaan.
3. Pemohon hendaklah memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009.

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MASUK KE MRSM (AGAMA) ULUL ALBAB:
1. Warganegara Malaysia.
2. Permohonan ini terbuka kepada pelajar yang bersekolah di Semenanjung Malaysia :
(i) Bumiputera tahun enam yang sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Agama Negeri atau Sekolah Rendah Agama Rakyat.
3. Pemohon hendaklah memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2009.
4. Berkebolehan membaca Al-Quran dengan baik dan mempunyai minat dalam bidang agama.
5. Pemohon mestilah memilih MRSM Kota Putra atau MRSM Gemencheh sebagai pilihan pertama semasa mengisi borang permohonan secara online.
6. Pemohon ke MRSM (Agama) akan ditemuduga.

B. CARA MEMOHON SECARA ONLINE :
1. Pemohon boleh mendapatkan nombor pin dengan percuma di semua Pejabat MARA Negeri, Pejabat MARA Daerah atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang berdekatan pada waktu pejabat bermula pada hari keputusan UPSR 2009 diumumkan secara rasmi.
2. Pemohon hendaklah membawa salinan Surat Beranak serta salinan Keputusan UPSR 2009 yang telah disahkan semasa mendapatkan nombor pin.
3. Pemohon mestilah mengisi semua maklumat yang diperlukan di dalam borang permohonan online dan memastikan borang tersebut dihantar secara online. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web MARA di alamat :
http://www.mara.gov.my
4. Pemohon mestilah menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat di bawah:

(Permohonan Ke Tingkatan 1)
Pengarah,
Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah),
Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA,
21, Jalan Raja Laut,
50609 KUALA LUMPUR.

C. TARIKH TUTUP PERMOHONAN
1. Tarikh akhir permohonan secara online ialah pada 30 November 2009.
2. Tarikh akhir menghantar cetakan borang dan dokumen yang berkaitan ialah selewat-lewatnya pada 3 Disember 2009.

D. NOTA PENTING
1. Hanya permohonan yang memenuhi syarat kelayakan sahaja akan dipertimbangkan.
2. Permohonan yang tidak lengkap atau lewat diterima daripada tarikh tutup akan ditolak.
3. Selain syarat kelayakan, keutamaan akan diberikan kepada calon seperti yang berikut :
(i) Bergiat aktif dalam bidang kepimpinan, sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta pasukan pakaian seragam.
(ii) Berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dari sekolah pedalaman, luar bandar atau kawasan bandar yang meliputi kawasan setinggan atau kawasan daif.
4. Pemohon yang ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi ( SBPI) Kementerian Pelajaran tidak layak memohon ke MRSM.
5. Pemohon yang berjaya sahaja akan dihubungi. Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang jawapan sehingga 30 April 2010 permohonan anda dianggap tidak berjaya.
6. Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di MRSM yang bersesuaian mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh MARA.
7. Keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pengambilan Pelajar MRSM adalah muktamad.
CAWANGAN HAL EHWAL PELAJAR
BAHAGIAN PENDIDIKAN DAN LATIHAN (MENENGAH)
MARA.

No comments:

Post a Comment