Tuesday, February 2, 2010

TONGGAK DUA BELAS

TONGGAK DUA BELAS

1. Menghargai Masa
Menghargai masa bermaksud dapat menggunakan masa secara maksimum dalam melaksanakan sesuatu yang berfaedah. Menepati masa adalah suatu tabiat yang
harus dibiasakan. Tabiat ini wujud hasil dari ketinggian maruah diri dan adanya
rasa hormat kepada orang lain. Ianya dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya
seseorang itu mengamalkan catatan penggunaan masa setiap hari.

2. Kekuatan Membawa Kejayaan
Kekuatan bererti memberi tumpuan kepada sesuatu kerja hingga selesai dengan
sempurna dan membawa kecemerlangan kepada agensi serta individu. Keazaman dan
kegigihan akan menjadikan kerja yang sukar berjaya dilaksanakan. Kekuatan hanya
akan lahir jika terdapat disiplin diri yang tinggi.

3. Keseronokan Bekerja
Kerja bukanlah suatu yang ringan malah bagi kebanyakan orang ianya adalah
merupakan perlakuan yang tiada hujungnya. Namun sekiranya kita mengambil
pendirian yang optimis, kita boleh menjadikan kerja itu sebagai sesuatu yang
menyeronokkan. Untuk itu, kerja harus dianggap dan dijadikan sebagai ibadah,
cabaran atau bidang pengkhususan yang dengan sendirinya akan menjadikan kita
pakar yang diiktiraf.

4. Kemuliaan Kesederhanaan
Kesederhanaan adalah sikap menolak keterlaluan sama ada dalam menetapkan sesuatu
peraturan, perbelanjaan dan sebagainya. Dalam menjalankan tugas harian, sikap
sederhana dalam percakapan, pergaulan, berpakaian dan lain-lain adalah penting
bagi meningkatkan kecekapan organisasi.

5. Ketinggian Peribadi
Peribadi seseorang adalah merupakan "the total personality". Ia merangkumi
perwatakan, sikap, perilaku, gaya dalam pergaulan, baik dalam organisasi mahupun
dalam masyarakat umum. Ketinggian peribadi seseorang mencerminkan pemiliknya
seorang yang berjiwa besar dan berakhlak tinggi.

6. Kekuatan Sifat Baik Hati
Sifat baik hati akan mendorong seseorang itu mengamalkan nilai-nilai positif
yang lain seperti sopan santun, pemaaf, pemurah, bertimbang rasa, kasih sayang,
bersimpati dan suka membantu. Sifat ini akan dapat menjamin kehormonian sesebuah
organisasi. Seorang yang baik hati lebih mementingkan penyelesaian masalah dari
mencari siapa yang bersalah.

7. Pengaruh Teladan
Sejarah telah membuktikan tentang betapa banyaknya tamadun yang membangun
lantaran pemimpin yang kuat, berani dan bijaksana. Pemimpin yang baik akan
mempengaruhi pengikutnya dari segi kepemimpinan, tunjuk ajar, akhlak atau tutur
kata yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain. Oleh itu pengaruh teladan
yang positif boleh mendatangkan keuntungan kepada sesebuah organisasi.

8. Kewajipan Menjalankan Tugas
Tugas ialah tanggungjawab yang ditetapkan bagi seseorang yang hidup
bermasyarakat. Tugas seseorang itu akan terkumpul menjadi hasil yang besar
kepada sesuatu masyarakat yang akan menentukan untung rugi produktiviti mereka.
Tugas mesti dilakukan dengan cekap, cepat, berkesan dan sempurna. Oleh yang
demikian sesuatu tugas itu memerlukan pengurusan yang baik supaya ianya dapat
dikendalikan secara berkesan dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

9. Kebijaksanaan Berhemat
Berhemat adalah suatu sifat yang harus dipupuk sepanjang masa, bukan sahaja
berhemat dari segi wang bahkan dalam perkara-perkara lain seperti masa, bahan
dan penggunaan apa sahaja. Orang yang berhemat bolehlah dianggap sebagai
menghargai perkara atau benda-benda yang dicermatkan itu. Sikap berhati-hati
dalam membelanjakan sesuatu menunjukkan sesorang itu bertanggungjawab terhadap
bahan-bahan yang digunakan.

10. Keutamaan Kesabaran
Kesabaran adalah sifat yang dipuji oleh semua agama. Orang yang sabar menerima
segala cabaran dengan tenang, memikirkannya denga teratur dan tidak mudah
berputus asa. Semangat ketabahan yang ada pada seseorang yang sabar itu
menunjukkan kewibawaannya dalam menjalankan tugas.

11. Peningkatan Bakat
Bakat adalah sifat yang mendorong ke arah penciptaan, innovasi dan penyelesaian
masalah. Hal ini penting diperhatikan kerana persekitaran sedia ada sering
berubah. Oleh itu sebarang bakat, baik dari segi pentadbiran, sains dan
teknologi, kesenian dan lain-lainnya memberi manfaat kepada kehidupan manusia.

12. Nikmat Mencipta
Kepuasan adalah matlamat akhir bagi setiap usaha yang dilakukan oleh manusia.
Kepuasan yang paling ketara adalah apabila sesuatu ciptaan yang dihasilkan
mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan negara. Penghayatan terhadap nilai
ini akan menggalakkan seseorang sentiasa mencari idea baru dalam menyelesaikan
masalah.


Ciri-ciri Tenaga Kerja Yang Beretika

Berdisiplin
Ketaatan
Beriltizam
Kecemerlangan
Tanpa Kecacatan
Kualiti
Persaingan di pasaran dunia


Implikasi Tenaga Kerja Yang Beretika
Cekap, bersih dan amanah
Hasil kerja yang berkualiti
Menembusi pasaran antarabangsa
Mengekalkan martabat negara

No comments:

Post a Comment