Saturday, May 29, 2010

KEYAKINAN JAYAKAN WAWASAN 2020

KENYATAAN Perdana Menteri kemungkinan usaha Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 terjejas perlu diterima dengan perasaan yang tenang.Kita cuma memerlukan kira-kira 12 tahun sahaja lagi untuk mencapai Wawasan 2020. Sudah hampir 18 tahun kita menanam tekad untuk menjadi warganegara maju sejak misi dasar negara ini mula digerakkan pada tahun 1991.Impian kita mungkin dijejaskan oleh faktor peningkatan harga minyak dan bahan binaan yang keterlaluan.Penanda aras untuk mencapai negara maju ialah pertumbuhan negara harus berada pada kadar enam peratus setahun secara berterusan. Dengan kedudukan harga minyak dan bahan binaan yang mahal, projek pembangunan yang kerajaan rancang terpaksa dikaji semula dan ditangguh sementara waktu.Dalam sifir ekonomi paling mudah, kurangnya projek pembangunan maka kuranglah kadar pertumbuhan tahunan.Negara seluruh dunia sedang menghadapi masalah akibat kenaikan harga minyak. Kerajaan terus mencari jalan supaya dalam menuju tahun 2020, kita tidak harus mengorbankan hak asasi rakyat sekarang.Masalah kenaikan harga barangan akibat inflasi harus ditangani juga oleh kerajaan sekarang. Kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat perlu diberi perhatian. Hal ini bukan bermakna projek pembangunan untuk menggambarkan Malaysia sebagai negara maju tidak penting, tetapi pada masa ini keutamaan adalah membantu kehidupan rakyat.Apa yang penting sekarang ialah rakyat perlu bersama-sama kerajaan untuk memastikan kedudukan politik, ekonomi dan sosial berada dalam keadaan aman, stabil dan selamat.Di samping itu, kita meminta pemikir-pemikir negara supaya mengeluarkan idea-idea bagi membawa kita keluar segera daripada kemelut yang mengancam ekonomi dunia sekarang.Rakyat akan sentiasa menyokong usaha-usaha kerajaan yang dapat meringankan kepayahan hidup mereka.Barangkali kita terpaksa melawan arus ekonomi dunia, asalkan dapat merancakkan pertumbuhan dalaman.Kita ada pengalaman menghadapi masalah kenaikan harga minyak dan bahan binaan pada masa lalu. Walaupun keadaan tidak sama seperti sekarang sekurang-kurangnya kita boleh mengguna formula lalu yang diubah suai mengikut keadaan semasa.Wawasan 2020 adalah satu misi negara. Ia tidak boleh disamakan dengan Dasar Ekonomi Baru yang matlamatnya cukup besar untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat berbilang kaum.Walaupun pelaksanaan DEB telah tamat tempohnya pada 1991, tetapi semangatnya masih membara dalam dasar-dasar kerajaan.Sebab itu, kita berharap matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju tidak akan 'dipadamkan' oleh masalah harga minyak dan bahan binaan. Malaysia sudah membuktikan slogan 'Malaysia Boleh' dalam pelbagai bidang, jadi kuatkan keyakinan bahawa kita juga boleh mencapai Wawasan 2020. (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment