Thursday, January 7, 2010

PENGETAHUAN PENGETUA DALAM ASPEK PERUNDANGAN SEKOLAH

Para pendidik, pengetua, guru besar dan pegawai perkhidmatan pelajaran sentiasa terdedah kepada keadaan yang boleh menyebabkan mereka melanggar peraturan dan undang-undang pelajaran. Ini adalah kerana mereka tidak faham atau tidak tahu tentang adanya peraturan dan undang-undang dalam pendidikan. Kadang-kadang mereka terperangkap dengan arahan-arahan yang bertentangan dengan undang-undang pendidikan. Pentadbir pendidikan di sekolah khasnya pengetua/guru besar tidak peka tentang peraturan-peraturan yang sedia ada dan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya ke atas kakitangan atau pelajar-pelajar. Pengetahuan pengetua/guru besar yang terbatas dalam aspek perundangan pendidikan dikenal pasti sebagai punca yang menyebabkan sekolah sering didakwa oleh ibu bapa. Oleh itu, Tie Fatt Hee (2002) menyebut mentaliti sedia mengambil tindakan mahkamah ke ats guru-guru mahupun pentadbir sekolah adalah suatu unsur yang sudah meresap masuk ke dalam bidang pendidikan di Malaysia.
Dalam tugasan ini, beberapa aspek yang dikaji oleh Gordon H.R.D berkaitan pengetahuan pengetua tentang perundangan di sekolah akan dibincangkan. Aspek-aspek ini merangkumi 10 daripada 40 soalan kajian berkaitan pengetahuan pengetua yang mempunyai kekerapan paling tinggi untuk dijawab dengan tepat oleh pengetua.
i. Adakah penting kebolehan untuk membezakan penyalahgunaan kuasa dengan kecuaian?
Salah guna kuasa seperti mendapatkan bekalan daripada pembekal barangan tertentu di mana pengetua mempunyai kepentingan peribadi, menggunakan premis sekolah untuk tujuan kelas tambahan berbayar dan menggunakan kemudahan/alatan sekolah untuk tujuan peribadi merupakan salah guna kuasa yang sering berlaku di sekolah. Kecuaian pula lebih menjurus kepada kegagalan pengetua untuk bertindak sebagaimana yang dikehendaki mengikut garis panduan yang ditetapkan. Contohnya kecuaian pengetua dalam memastikan keselamatan pelajar di sekolah sehingga berlakunya kecederaan terhadap pelajar, kecuaian pengetua mengambil tindakan terhadap guru yang tidak hadir bertugas tanpa kebenaran dan kecuaian dalam pembayaran gaji kakitangan sehingga membawa kepada kerugian di pihak kerajaan. Implikasi perundangan berbeza yang bakal dihadapi oleh pengetua jika disabit kesalahan penyalahgunaan kuasa atau kecuaian perlu dihayati sepenuhnya oleh pengetua bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan.
ii. Adakah pengadu yang membuat aduan dilindungi oleh undang-undang? Dalam konteks pendidikan di Malaysia perkara ini tidak begitu jelas dipraktikkan kerana masyarakat pada umumnya tidak mahu terlibat ataupun takut untuk melibatkan diri dengan perkara-perkara yang membawa kepada tindakan undang-undang. Namun begitu sebagai pengetua, perkara ini perlu diberikan perhatian agar tindakan-tindakan yang bertentangan dengan peraturan mahupun undang-undang dapat diperbetulkan. Seterusnya ini akan membawa kepada wujudnya suasana yang kondusif di sekolah bagi mendidik pelajar-pelajar menjadi insan yang berguna.
iii. Bolehkah faktor jantina menjadi asas dalam pemilihan kaunselor di sekolah? Walaupun ‘gender bias’ merupakan agenda yang sering diperjuangkan oleh pertubuhan-pertubuhan wanita seperti ‘Sister Of Islam’ namun dalam bidang pendidikan di negara kita perkara ini tidak menampakkan kewujudan ‘bias’ yang ketara. Malah dalam pemilihan pemohon untuk menjawat jawatan guru, peluang untuk wanita terpilih dalam profesion ini adalah tinggi sehingga wujudnya kekurangan guru-guru lelaki di sekolah-sekolah tertentu. Bagi pemilihan kaunselor sekolah pula, di Malaysia perkara ini bergantung kepada pemilihan kursus yang dibuat oleh guru-guru semasa mengikuti latihan perguruan. Jadi tidak wujud ‘gender bias’ dalam pemilihan kaunselor di sekolah.
iv. Bolehkah sekolah menolak untuk menerima semula guru-guru yang disiasat untuk sesuatu kesalahan ?
Sebenarnya isu penerimaan semula guru-guru yang disiasat mengenai sesuatu kesalahan tidak timbul dalam kontek pendidikan di Malaysia. Pengetua tidak mempunyai kuasa untuk menolak kemasukan seseorang guru di sesebuah sekolah kerana bidang kuasa pengetua terbatas dalam kawasan sekolah sahaja. Arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang lebih tinggi seperti arahan pertukaran guru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri perlu dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya. Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang lebih tinggi akan membawa kepada dakwaan ingkar perintah terhadap pengetua.
v. Bolehkah pihak sekolah menghalang hak guru-guru untuk menyiarkan pandangan mereka ?
Hak guru-guru untuk menyiarkan pandangan mereka khususnya dalam bidang penerbitan memerlukan kebenaran daripada kementerian/jabatan pelajaran. Walaubagaimanapun bagi penerbitan yang berbaur isu-isu sensitif yang bertentangan dengan dasar kerajaan seperti isu perkauman, politik, hasutan dan lainnya adalah dilarang sama sekali. Malah penerbitan yang sebegini boleh menyebabkan guru-guru berkenaan diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab. Pengetua tidak dapat menghalang hak guru-guru menerbitkan penerbitan yang bertentangan dengan dasar kerajaan tetapi peranan pengetua melaporkan kejadian-kejadian sebegini akan dapat memelihara martabat bidang perguruan.
vi. Jika ibu bapa mempunyai bantahan dari segi keagamaan terhadap sekolah, bolehkah mereka mengelak daripada menghantar anak-anak mereka ke sekolah ?
Pendidikan rendah di Malaysia wajib diberikan kepada kanak-kanak yang telah mencapai umur genap enam tahun pada 1 Januari. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah apabila mencapai umur tersebut. Kegagalan ibu bapa mematuhi akta yang diperuntukkan ini akan membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM 5 000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Jadi di sini jelas sekali bahawa walaupun wujudnya bantahan daripada ibu bapa terhadap sekolah dalam apa jua perkara namun tanggungjawab menghantar anak ke sekolah rendah tidak akan terlepas.
vii. Bolehkah sekolah meminta pelajar melibatkan diri dalam khidmat masyarakat?
Pihak sekolah melalui pengetua boleh meminta pelajar untuk melibatkan diri dengan program khidmat masyarakat. Walaubagaimanapun pengetua perlulah mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa terlebih dahulu untuk melibatkan anak-anak mereka dalam sesuatu program yang ingin dijalankan khususnya bagi aktiviti yang dijalankan diluar kawasan sekolah. Di samping itu pengetua hendaklah memastikan keselamatan pelajar-pelajar semasa menjalankan sesuatu aktiviti yang dijalankan. Kegagalan pengetua melaksanakan tanggungjawab mengenai keselamatan ini boleh mengakibatkan dakwaan kecuaian dikenakan terhadapnya jika berlaku kecederaan atau kematian terhadap pelajar.
viii. Bolehkah guru atau pelajar dianggap sebagai kakitangan awam ?
Guru memang merupakan kakitang awam yang dibayar gaji serta mempunyai hak dan keistimewaan tertentu untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Walaupun pelajar bukanlah kakitangan awam secara langsung namun hak serta keistimewaan yang diperuntukkan kepada mereka menjadikan mereka sebahagian daripada entiti dalam sistem pendidikan kita. Oleh itu kewujudan mereka dalam sistem ini perlu diberikan perhatian oleh pengetua agar hak serta keistimewaan mereka sentiasa dijaga.
ix. Adakah penerbitan itu dikritik jika ia mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai masyarakat?
Penerbitan yang mengandungi unsur-unsur lucah, bahasa kesat dan lainnya memanglah dikritik malah dalam keadaan tertentu perlu diharamkan. Dalam kontek ini pengetua hendaklah memastikan penerbitan di sekolah seperti buletin atau majalah sekolah tidak mempunyai unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai masyarakat. Kepekaan pengetua memantau penerbitan yang dikeluarkan oleh pihak sekolah akan menghindarkan guru mahupun pelajar menyiarkan bahan-bahan yang terlarang di dalam penulisan mereka.
x. Bolehkah golongan minoriti disingkirkan apabila penurunan dalam keperluan berlaku ?
Penyingkiran golongan minoriti daripada sesebuah organisasi/sekolah adalah tidak sah dari segi undang-undang. Sebenarnya pengetua tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan kakitangan di sekolah sebaliknya pengetua boleh melaporkan kepada Lembaga Tatatertib jika kakitangan melakukan kesalahan. Walaubagaimanapun pengetua mempunyai hak untuk menyingkirkan pelajar daripada bersekolah di sekolah berkenaan jika pelajar melakukan kesalahan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin) Sekolah 1959. Namun begitu tidak wujud peruntukan yang membolehkan pengetua menyingkirkan kakitangan atau pelajar berkaitan golongan minoriti.
Sebagai kesimpulan daripada kajian oleh Gordon ini dapat dinyatakan bahawa pengetua serta semua guru perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan perundangn pendidikan bagi berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan semua warga sekolah khusunya kes-kes disiplin pelajar. Pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan pihak sekolah sendiri perlu mengadakan kursus-kursus untuk mendedahkan guru-guru dengan aspek perundangan dalam pendidikan bagi mengelak daripada risiko dikenakan tindakan mahkamah.

No comments:

Post a Comment