Thursday, January 7, 2010

PENGURUSAN ORGANISASI (SEKOLAH)

Organisasi adalah kelompok yang merangkumi manusia, bahan-bahan, peralatan dan pelbagai kemudahan yang diselaraskan agar mencapai sesuatu matlamat yang spesifik yang ditetapkan. Dalam usaha untuk mencapai matlamat sesebuah organisasi seperti sekolah berbagai fungsi pengurusan telah dilaksanakan oleh pihak pentadbir. Salah satu fungsi pengurusan yang amat dititik beratkan seperti yang dipelopori oleh Henri Fuyol ialah mengetuai(leading) iaitu mengarahkan dan memotivasi semua pihak yang terlibat untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan umum. Dalam aspeks ini dua sumber manusia yang menjadi fokus pihak pentadbir ialah guru dan pelajar. Untuk pelajar berbagai bentuk motivasi seperti kursus, ceramah dan sesi kaunseling dijalankan untuk meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Apa yang cuba diterapkan oleh pentadbir kepada pelajar-pelajar dalam konteks ini ialah mewujudkan disiplin kendiri di kalangan pelajar-pelajar seperti yang disebut oleh Ee Ah Meng dalam bukunya Pedagogi- Satu Pengenalan. Di samping itu pelajar-pelajar yang mencapai keputusan yang cemerlang biasanya diberikan ganjaran seperti hadiah-hadiah buku dan juga wang tunai. Ganjaran ini biasanya diberikan pada waktu perhimpunan rasmi atau pada Hari Anugerah Cemerlang untuk meningkatkan self-esteem pelajar-pelajar yang cemerlang agar ia menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain untuk berusaha bagi mencapai keputusan yang cemerlang. Terdapat juga pentadbir di sekolah-sekolah yang menyediakan pakej pelancongan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang untuk mengikuti rombongan sambil belajar atau pakej perkhemahan secara percuma. Pelajar-pelajar yang cemerlang juga sering diberikan pujian di khalayak ramai untuk menggalakkan mereka berusaha dengan lebih gigih lagi di samping menggalakkan pelajar-pelajar lain mengikuti contoh baik yang ditunjukkan mereka.
Bagi guru-guru pula pihak pentadbir biasanya mencalonkan guru-guru yang berprestasi tinggi untuk mendapat anugerah cemerlang yang diwujudkan oleh kerajaan walaupun perlaksaannya menimbulkan pelbagai kontrovosi. Ini secara tidak langsung dapat memotivasikan guru-guru untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan peperiksaan awam mahupun keputusan pertandingan kokurikulum yang cemerlang kepada pelajar-pelajar. Terdapat juga pentadbir di sekolah-sekolah yang mewujudkan anugerah khas kepada guru-guru yang cemerlang yang disampaikan pada hari-hari tertentu seperti pada Hari Guru atau pada waktu perhimpunan rasmi. Wujud juga pentadbir-pentadbir yang tidak lokek memberikan pujian kepada guru-guru yang mencapai sesuatu kejayaan dalam sebarang aktiviti yang mereka ceburi. Namun begitu jika dilihat dari sudut kawalan pengurusan(management control) yang melibatkan arahan dan penyeliaan kerja seperti yang disebutkan oleh John Child dalam bukunya Organization- A Guide To Problems And Practice, pihak pentadbir perlu memberikan penerangan yang jelas kepada guru-guru tentang halatuju dan matlamat yang ingin dicapai pada sesuatu masa agar dapat mereka bekerja seiring dengan kehendak pihak pentadbir. Selain itu mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif merupakan suatu bentuk motivasi yang amat diperlukan oleh guru-guru kerana ini akan dapat menimbulkan perasaan ‘sense of belonging’ yang dapat menggerakkan mereka untuk bekerja lebih gigih lagi. Satu lagi bentuk motivasi yang dilakukan oleh pentadbir ialah mewujudkan hubungan interpersonal yang mesra serta bertolak ansur dalam menyelesaikan sesuatu masalah mahupun konflik yang timbul.
Walaupun kesan motivasi yang diterapkan oleh pentadbir amat sukar untuk diukur dari segi ‘performance’ guru-guru kerana ia bersifat subjektif namun ia dapat diterjemahkan dalam bentuk pencapaian pelajar-pelajar dalam peperiksaan umum dan juga pencapaian mereka dalam pertandingan kokurikulum. Sekolah-sekolah yang mempunyai guru-guru yang bermotivasi tinggi akan mencapai keputusan peperiksaan yang lebih baik daripada sekolah-sekolah yang mempunyai guru-guru yang kurang bermotivasi kerana kumpulan guru-guru yang bermotivasi tinggi sanggup berusaha ke tahap yang maksimum seperti mengadakan kelas-kelas tambahan secara sukarela, menyediakan bahan-bahan pengajaran yang berkualiti kepada pelajar-pelajar, memantau keputusan pelajar-pelajar, mengadakan kelas-kelas pemulihan dan pengayaan serta mempunyai sifat empati terhadap pelajar-pelajar. Begitu juga dalam bidang kokurikulum, guru-guru yang bermotivasi tinggi sanggup mengadakan latihan kokurikulum di luar waktu persekolah secara konsisten dan begitu mengambil berat tentang pelajar-pelajar yang mereka bimbing. Kesemua ini akan menghasilkan keputusan yang baik khususnya dalam peperiksaan umum yang menjadi agenda utama persekolahan masakini.
Jika dilihat keperluan motivasi dalam organisasi sekolah pada masakini amat jelas kepada kita bahawa pentadbir sekolah perlu memahami keperluan motivasi di kalangan pelajar dan guru ke arah mencapai matlamat sekolah yang telah ditetapkan. Pengetahuan tentang tingkahlaku manusia berdasarkan keperluan manusia yang bertingkat-tingkat seperti Model Maslow akan memudahkan pentadbir untuk memotivasikan guru dan pelajar. Penyediaan tempat belajar/bekerja yang kondusif seperti penyediaan ruang, cahaya hawa dingin dan lain lagi akan memenuhi keperluan fisiologi individu. Persekitaran kerja/belajar yang selamat akan memberikan kepuasan kepada pelajar/guru untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana keperluan keselamatan yang terjamin. Galakan penyertaan guru-guru dalam merancang matlamat sekolah akan memberikan kepuasan sosial kepada guru-guru untuk memberikan sumbangan yang berkesan kepada sekolah. Pujian, pemberian tugas/tanggungjawab yang besar dan mencabar serta sokongan untuk kenaikan pangkat oleh pentadbir akan memotivasikan guru-guru dalam mencapai keperluan harga diri di sekolah. Penyediaan peluang melalui program latihan dan pembangunan kerjaya oleh pentadbir kepada guru-guru pula akan menggalakkan mereka berusaha untuk mencapai kesempurnaan diri yang akhirnya boleh disumbangkan kepada usaha untuk mencapai matlamat sekolah.
Kesemua insentif yang diberikan kepada guru/pelajar ini akan menggerakkan mereka bekerja/belajar dengan lebih gigih kerana wujudnya motivasi secara ekstrinsik ataupun intrinsik. Motivasi secara ekstrinsik akan menjadi daya penggerak(driving force) kepada guru/pelajar untuk mendapat ganjaran dalam bentuk kewangan, faedah, pangkat, pujian dan status simbol dalam komuniti di sekolah. Motivasi secara intrinsik pula akan memberikan kepuasan dalam diri guru/pelajar untuk mendapat harga diri yang tinggi serta mencapai kesempurnaan diri yang diinginkan. Kesemua faktor-faktor motivasi diri seperti keperluan, kepuasan, harapan dan sasaran yang digabungjalinkan dengan kebolehan untuk melaksanakan tugas ini akan membuahkan hasil yang diharapkan dalam organisasi sekolah. Kejayaan untuk memenuhi matlamat yang ditetapkan dalam organisasi sekolah akan mencerminkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pentadbir di sekolah dalam mengurus sumber manusia yang ada.
Dalam konteks pekerjaan guru pula, walaupun aktiviti pembelajaran boleh berlaku di dalam bilik darjah tanpa adanya motivasi oleh guru-guru namun adalah amat penting bagi guru-guru untuk mengenalpasti keperluan dan penggerak yang dapat disalurkan untuk mengubah sikap pelajar bagi meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran mahupun dalam aktiviti kokurikulum. Kesedaran tentang sasaran yang ingin dicapai dan insentif yang bakal diperolehi pelajar adalah faktor motivasi yang kuat yang dapat menggerakkan mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap bidang yang mereka ceburi seperti yang disebut oleh John W. Newstrom dalam bukunya Organizational Behavior- Human Behavior At Work. Di sekolah guru-guru dapat memotivasikan pelajar-pelajar dengan cara mewujudkan interaksi yang berbentuk integrasi dan mengelakkan interaksi berbentuk dominatif. Interaksi guru dengan pelajar dalam bentuk integrasi semasa menyoal, menerima, memuji dan menggalakkan penyertaan pelajar akan mewujudkan suasana bilik darjah yang tenang dan selesa untuk pembelajaran kerana tuntutan keperluan fisioloi, keselamatan malah keperluan sosial telah dipenuhi. Pendekatan melalui motivasi secara intrinsik mahupun ekstrinsik oleh guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran akan menimbulkan keinginan pelajar-pelajar untuk meningkatkan usaha mereka bagi mencapai kejayan yang cemerlang dalam bidang akademik ataupun kokurikulum.
Kejayaan untuk memotivasikan individu yang berbeza adalah bergantung kepada kaedah perlaksanaan motivasi yang dipraktikkan kerana setiap individu yang berbeza memerlukan keperluan hidup ataupun kepuasan dalam hidup yang berbeza. Mungkin individu yang sering dikritik akan berasa teruja untuk berusaha dengan gigih apabila diberikan pujian sebaliknya individu yang sering mencipta kejayaan sudah lali dengan pujian sebaliknya memerlukan motivasi berbentuk harga diri yang tinggi ataupun kesempurnaan diri.
Sebagai kesimpulan dapat disebutkan bahawa motivasi dalam organisasi sekolah perlu diberikan perhatian oleh pentadbir untuk menggerakkan guru dan pelajar bagi mencapai matlamat sekolah yang telah ditetapkan. Bagi guru pula motivasi terhadap pelajar untuk mereka belajar ataupun berkecimpung dalam bidang kokurikulum adalah penting untuk mencapai prestasi yang diharapkan.

No comments:

Post a Comment