Thursday, January 7, 2010

KESALAHAN DAN PENALTI BERHUBUNG NAZIR SEKOLAH

Institusi pendidikan yang menjalani proses pengajaran dan pembelajaran mengikut dasar-dasar yang ditetapkan bagi sesuatu institusi itu sering terdedah kepada kesalahan-kesalahan yang boleh membawa kepada penalti-penalti tertentu. Di antara kesalahan dan penalti yang termaktub di dalam Akta Pendidikan ialah kesalahan dan penalti berkaitan nazir. Kesalahan dan penalti yang berhubungan dengan nazir adalah disebabkan oleh kuasa am yang dimiliki oleh nazir yang dilantik oleh menteri. Seksyen 121 Akta Pendidikan 1996 iaitu kuasa am nazir sekolah ada menyebut bahawa ,
Bagi maksud membuat pemeriksaan ke atas institusi pendidikan di bawah Seksyen 117 , Ketua Nazir atau Nazir Sekolah (dalam seksyen ini disebut “Nazir”) boleh
a) pada bila-bila masa memasuki sesuatu institusi pendidikan; dan
b) menghendaki pengerusi lembaga pengelola atau pengelola atau mana-mana orang lain yang bertanggungjawab ke atas pengurusan institusi pendidikan itu atau guru atau pekerja atau orang yang ditemui di institusi pendidikan itu-
(i) mengemukakan bagi maksud pemeriksaannya mana-mana jadual waktu, sukatan pelajaran atau rekod yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajarkan atau yang akan diajarkan atau apa-apa buku, bahan, dokumen atau barang yang berhubungan dengan atau yang pada pendapat Nazir itu mungkin ada hubungan dengan pengajaran yang dijalankan di institusi pendidikan itu atau dengan pengurusan institusi pendidikan itu; dan
(ii) memberikan kepada Nazir itu apa-apa maklumat yang berhubungan dengan pengajaran di/ atau pengelolaan institusi pendidikan itu yang diminta oleh Nazir itu, dan yang pengerusi, pengelola atau orang lain yang bertanggungjawab ke atas pengurusan institusi pendidikan itu, guru, pekerja atau orang itu mempunyai kuasa untuk memberikan.
Berbekalkan kuasa yang diperuntukkan kepada Nazir untuk memasuki institusi pendidikan pada bila-bila masa serta boleh mendapatkan apa-apa maklumat berhubung pengajaran atau pengelolaan daripada seseorang yang bertanggungjawab bagi maksud pemeriksaan daripada pihak institusi pendidikan itu memungkinkan seseorang dalam institusi pendidikan itu terdedah kepada kesalahan dan boleh dikenakan penalti sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 134 Akta Pendidikan 1996.
Seksyen 134 Akta Pendidikan 1996 menyatakan bahawa seseorang yang-
a) menghalang atau menggendalakan Ketua Nazir atau Nazir Sekolah dalam menjalankan mana-mana kuasa yang diberikan kepadanya oleh seksyen 121. Contohnya seseorang yang menghalang Nazir memasuki kawasan sekolah dengan cara menutup pintu pagar sekolah agar Nazir tidak dapat memasuki kawasan sekolah boleh disabitkan kesalahan mengikut seksyen ini. Perbuatan menghalang Nazir menjalankan tugas ini merupakan suatu kesalahan yang besar kerana tugas-tugas yang dirancang untuk dilakukan pada waktu yang ditetapkan tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan. Bagi contoh menggendalakan Nazir menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya pula, seseorang yang menghilangkan diri bagi maksud mengelak daripada pemeriksaan oleh Nazir apabila diminta untuk memberikan kerjasama dalam penyeliaan pengajaran kepada Nazir juga boleh disabitkan melalui seksyen ini. Perbuatan yang mengakibatkan sebahagian tugas Nazir tergendala akibat masa yang terbuang menunggu atau mencari seseorang itu juga boleh dikategorikan sebagai melakukan kesalahan yang besar dan boleh dikenakan penalti
b) enggan mengemukakan mana-mana jadual waktu, sukatan pelajaran, rekod, bahan, dokumen atau barang, atau enggan memberikan maklumat, dengan melanggar subperenggan 121(b)(ii); contohnya seperti enggan mengemukakan buku rekod pengajaran kepada Nazir apabila diminta untuk melakukannya atau menyembunyikan maklumat/dokumen yang diminta bagi maksud pemeriksaan oleh Nazir boleh disabitkan sebagai kesalahan mengikut Seksyen134 ini.
c) memberikan apa-apa maklumat yang palsu dalam apa-apa perkara yang material atau yang dia tahu adalah palsu atau yang dia tidak percayai adalah benar. Contoh memberikan maklumat palsu ialah menyatakan bahawa pengetua/guru besar menjalankan pengajaran di dalam bilik darjah mengikut jadual yang ditetapkan padahal realitinya pengetua/guru besar tersebut langsung tidak mempunyai jadual waktu pengajaran.
Jika Seksyen 134 Akta Pendidikan ini tidak dipatuhi maka seseorang itu dianggap telah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Melihat kepada kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan Seksyen 134 Akta Pendidikan 1996 ini iaitu
a) menghalang atau menggendalakan Nazir menjalankan kuasa yang diperuntukkan dalam Seksyen 121
b) enggan mengemukakan jadual waktu, sukatan pelajaran, rekod, buku, bahan, dokumen, barang atau maklumat
c) memberi maklumat palsu (dia tahu palsu atau dia percaya tidak benar)
memerlukan perhatian yang serius daripada warga institusi pendidikan khususnya pihak sekolah. Kesalahan-kesalahan yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak malah mungkin ada yang tidak menyedari bahawa perbuatan-perbuatan tersebut di atas adalah suatu kesalahan memerlukan penjelasan yang mendalam daripada pentadbir institusi pendidikan terhadap kakitangannya. Jumlah penalti sehingga RM 30 000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali perlu didedah dan ditekankan kepada warga oendidikan dalam mesyuarat ataupun taklimat yang dikendalikan oleh institusi pendidikan. Justeru itu kehadiran Nazir ke institusi pendidikan perlu dipandang dan ditangani dengan serius oleh semua warga institusi pendidikan. Pendedahan kepada Akta Pendidikan ataupun Peraturan Pendidikan perlu dilakukan dengan segera agar kesalahan-kesalahan berkaitan Seksyen 134 ini dapat dielakkan.
Pengetahuan tentang Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 khususnya peraturan
a) Peraturan 6 – Jadual, sukatan pelajaran dan jadual waktu diadakan untuk pemeriksaan
b) Peraturan 7 – Guru perlu mengadakan salinan sukatan pelajaran yang diluluskan dan senarai murid-murid untuk pemeriksaan
c) Peraturan 8 – Buku rekod guru
d) Peraturan 9 – Jadual, sukatan pelajaran dan sebagainya dalam bahasa selain bahasa kebangsaan diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan
e) Peraturan 10 – Jadual waktu perlu dipamerkan
perlu dimaklumkan kepada semua warga institusi pendidikan khususnya guru kerana penalti bagi kesalahan-kesalahan yang disabitkan berhubungan Pendidikan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 di atas iaitu denda tidak melebihi RM 5 000 jika disabitkan adalah jauh lebih rendah berbanding kesalahan mengikut Seksyen 134 Akta Pendidikan. Justeru itu kakitangan/guru perlu mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan mengikut Seksyen 314 Akta Pendidikan sebaliknya berusaha mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 kerana kegagalan mematuhi peraturan 6, 7, 8, 9 atau 10 hanya melibatkan jumlah wang tidak melebihi
RM 5 000. Dalam konteks ini penalti sebanyak RM 5 000 adalah jauh lebih ringan hukumannya jika disabitkan berbanding RM 30 000 mengikut Seksyen 134 Akta Pendidikan. Sehubungan itu kakitangan/guru perlulah bijak mengelakkan diri daripada disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 134 sebaliknya perlulah cuba mematuhi peraturan 6, 7, 8, 9 dan 10 Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 kerana jika disabitkan kesalahan mengikut Peraturan Pendidikan 1997 pun jumlah penalti yang bakal dikenakan kepada kakitangan/guru tidaklah terlalu berat.

1 comment: