Thursday, January 7, 2010

TEORI-TEORI MOTIVASI UNTUK PENTADBIR SEKOLAH

Pendahuluan
Motivasi memainkan peranan penting dalam menggerakkan pekerja-pekerja dalam sesebuah organisasi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Kebolehan mengaplikasikan teori motivasi dalam konteks pekerjaan di sesebuah organisasi akan meningkatkan lagi produktiviti. Sehubungan itu adalah penting bagi pengurus-pengurus sumber manusia untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang teori-teori motivasi agar sumber manusia yang berada di dalam organisasi yang diuruskannya dapat dimotivasikan dengan efektif untuk menghasilkan pekerja-pekerja yang efisien dalam menjalankan tugas masing-masing.
Peranan sebagai pengurus di sekolah yang dipegang oleh pengetua/guru besar juga tidak terkecuali daripada tugas untuk memotivasikan pekerja(guru) dan pelajar-pelajar yang merupakan sumber manusia di sekolah untuk mencapai visi dan misi yang ditetapkan pada sesuatu masa. Pengetahuan yang luas tentang teori-teori motivasi membolehkan pengetua/guru besar memahami keperluan dan kekangan yang dihadapi oleh sumber manusia di bawahnya dalam menjalankan tugas masing-masing.
Guru-guru yang kurang produktif atau yang bermasalah akan cepat dikesan dan didekati oleh pentadbir yang berpengetahuan tentang teori-teori motivasi. Seterusnya masalah yang dihadapi akan dapat diatasi dengan segera dan guru yang bermasalah itu akan lebih bermotivasi untuk menjalankan tugas seharian. Ini akan memberikan implikasi yang positif terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang seterusnya meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar di dalam peperiksaan.

Definisi Motivasi
Istilah motivasi berasal dariada perkataan Latin yang membawa maksud bergerak. Crow dan Crow (1983) mentafsirkan motivasi sebagai daya penggerak yang mempengaruhi banyaknya kepuasan atau gangguan yang dialami oleh seseorang dalam sebarang situasi yang dihadapi yang berkait rapat dengan dorongan dan minat yang dipenuhi atau dihalangi dalam diri seseorang. Hull (1943) pula mendefinisikan motivasi sebagai satu set pembolehubah yang menggiatkan tingkahlaku manusia dalam mengarahkan dan mengatur tingkahlaku ke-arah mencapai matlamat dan kepuasan kerja. Seterusnya Maniacal Jones (1955) mengaitkan motivasi dengan keadaan cara tingkahlaku digerakkan, digiatkan, dikekalkan, diarahkan dan dihentikan serta reaksi subjektif yang ada dalam diri individu semasa semua keadaan tersebut berlaku. Secara umumnya maksud motivasi dapat diringkaskan sebagai daya penggerak yang menggiatkan dan mengarahkan seseorang untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan lebih berkesan.
Motivasi dapat di kelaskan kepada dua jenis iaitu motivasi secara intrinsik dan motivasi secara ekstrinsik. Motivasi secara intrinsik merupakan dorongan ataupun desakan yang terbit daripada dalam diri individu yang berbentuk kepuasan ataupun kesempurnaan untuk melakukan sesuatu pekerjaaan/tugasan secara berkesan.
Motivasi secara ekstrinsik pula merupakan motivasi yang diwujudkan melalui ganjaran ataupun kebendaan yang diberikan setelah sesuatu pekerjaan/tugasan dapat dilakukan oleh seseorang dengan sempurna. Gabungan kedua-dua bentuk motivasi ini akan menghasilkan produktiviti yang maksimum terhadap pekerja dalam melakukan tugasan yang diamanahkan.

Kepentingan Motivasi
Motivasi adalah berkaitan dengan membangkitkan minat terhadap sesuatu pekerjaan/tugasan pada takat tertentu dalam sesuatu masa. Kepekaan pengurus/pentadbir untuk sentiasa berjaga-jaga terhadap rangsangan yang dapat menimbulkan perasaan ataupun kepuasan yang menyenangkan supaya minat pekerja dapat bertahan selama yang diperlukan dalam melakukan sesuatu pekerjaan/tugasan adalah amat penting. Pekerja-pekerja yang bermotivasi tinggi akan mempunyai kesanggupan untuk menggunakan segala tenaga, masa, pengalaman, pengetahuan malah wang yang dimiliki untuk mencapai sasaran kerja yang ditetapkan. Pekerja-pekerja yang bermotivasi juga akan dapat melakukan sesuatu pekerjaan/tgasan yang ditetapkan hanya dengan sedikit pengawasan dan tunjuk ajar. Ini dapat meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi di samping mengurangkan kos operasi yang diperlukan. Motivasi tinggi yang dimiliki oleh pekerja juga akan menimbulkan perasaan ‘self of belonging’ terhadap organisasi di mana mereka bernaung. Ini akan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan selamat untuk bekerja di mana pekerja akan menjadi lebih kompeten dalam menghadapi cabaran yang bersifat global. Kesemua ini akan memberikan implikasi yang positif terhadap pencapaian sesebuah organisasi dalam mengejar visi dan misi yang ditetapkan.
Dalam konteks persekolahan dewasa ini adalah amat penting bagi pentadbir sekolah untuk menerapkan teori-teori motivasi yang bersesuaian dalam diri guru/pelajar di sekolah agar proses pengajaran/pembelajaran dapat berjalan dengan berkesan. Ini kerana proses psikologikal yang membangkitkan, mengarah dan mengekalkan tingkah laku positif terhadap pengajaran/pembelajaran di sekolah yang menjadi agenda utama persekolahan pada hari ini akan lebih berjaya.
Teori-Teori Motivasi
Beberapa teori motivasi yang popular seperti teori keperluan Maslow, teori X dan teori Y oleh Gregor Douglas , teori motivasi kesihatan Herzberg, teori ERG, teori keperluan Mc Clelland, teori pengharapan oleh Victor Vroom, teori keseimbangan Stacy Adams, teori penetapan matlamat oleh Edwin Locke dan teori atribusi Heider merupakan beberapa teori motivasi yang sering dibicarakan.

a) Teori Hirarki Keperluan Maslow
Abraham Maslow memperkenalkan teori motivasi tingkah laku manusia berdasarkan keperluan mereka. Keperluan-keperluan ini dapat diklasifikasikan kepada lima hirarki dalam memahami tingkah laku manusia. Lima keperluan ini ialah
i. keperluan fisiologi iaitu keperluan asas manusia untuk hidup seperti
makanan, minuman, tempat tinggal, seks dan sebagainya
ii. keperluan terhadap keselamatan yang merangkumi perlindungan diri serta kerjaya sama ada berbentuk fizikal ataupun emosi
iii. keperluan sosial berinteraksi dengan orang lain, diterima oleh orang lain, disayangi, mempunyai kawan dan rasa diperlukan
iv. keperluan penghormatan diri menjadikan diri berharga untuk sesebuah organisasi, berkeyakinan dan dihormati
v. keperluan kesempuranaan diri merujuk kepada keperluan membangunkan diri ke tahap yang maksimum dan kepuasan dalam menjalankan sesuatu perkara
Kesempurnaan Diri
Penghormatan Diri
Kasih Sayang/Sosial
Keselamatan
Fisiologi

Model Hirarki Keperluan Maslow
Berdasarkan model hirarki keperluan yang diperkenalkan oleh Maslow ini adalah
penting bagi pengurus/pentadbir untuk memahami keperluan setiap pekerja di bawahnya. Pengetahuan tentang keperluan pekerja akan membolehkan pengurus/pentadbir merangsang pekerja dengan memberikan ganjaran berbentuk keperluan yang diingini oleh pekerja bagi mendorong mereka menjalankan tugasan dengan cemerlang. Pekerja akan menjadi lebih teruja untuk mencapai setiap tingkat hirarki dengan melakukan kerja secara lebih produktif. Contohnya bagi sebuah organisasi sekolah yang memiliki guru yang memerlukan tingkat hirarki kasih sayang akan menjadi lebih produktif dalam melakukan tugasan di sekolah jika kejayaan yang dicapainya diberikan perhatian dan pujian oleh pengetua/guru besar.

b) Teori X Dan Teori Y
Douglas Mc Gregor yang mengasaskan Teori X dan Teori Y mengandaikan bahawa pekerja mempunyai dua persepsi terhadap kerja yang mereka lakukan
di mana teori X menggambarkan pekerja besifat negatif dalam menjalankan tugasan mereka. Teori Y pula menggambarkan pekerja sebagai manusia yang bersifat positif terhadap kerja yang diamanahkan kepada mereka.
i. Teori X
Mengikut teori X pekerja mempunyai sifat tidak suka bekerja, malas,
tidak suka kepada tanggungjawab dan mesti dipaksa untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan yang diberikan. Pekerja akan cuba menolak tanggungjawab yang diberikan kecuali setelah mendapat arahan yang formal. Pekerja lebih bersifat mengutamakan keselamatan dan tidak bermotivasi untuk mencapai cita-cita tinggi.
ii. Teori Y
Teori Y mengandaikan pekerja mempunyai sifat sukakan kerja, kreatif, cuba mencari tanggungjawab dan bersedia untuk melakukan sesuatu tugasan melalui pengawasan yang minimum.

Pengetahuan pengurus/pentadbir tentang kelompok pekerja di bawahnya membolehkan pengurus/pentadbir merangka strategi yang bersesuaian berdasarkan teori X dan teori Y kerana terdapat pekerja yang perlu dipaksa atau diugut untuk melakukan sesuatu pekerjaan melalui pengawasan yang maksimum. Terdapat pula pekerja yang hanya perlu diawasi secara minimum dan sentiasa bersikap positif terhadap tugasan yang diberikan. Pendekatan yang berbeza terhadap pekerja perlu diaplikasikan oleh pengurus/pentadbir untuk mendapatkan produktiviti kerja yang maksimum.

c) Teori Motivasi Kesihatan
Teori yang diperkenalkan oleh Herzberg ini menyatakan keyakinan individu berhubung kerja yang mereka lakukan merupakan perkara asas manakala sikap mereka terhadap kerja itu yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan. Dua faktor utama yang berkait rapat dengan teori ini ialah faktor intrinsik dan faktor ekstrinsik.
i. Faktor intrinsik merupakan faktor dalaman diri individu seperti
pencapaian hasrat diri, pengiktirafan, penghormatan dan perkembangan dalam melakukan sesuatu perkara sehingga mencapai kejayaan
ii. Faktor ekstrinsik pula merupakan faktor luaran yang boleh mempengaruhi prestasi kerja seperti keadaan tempat kerja, gaji, penyeliaan dan sistem pentadbiran

Faktor ekstrinsik yang terkawal dan memuaskan akan menimbulkan faktor
intrinsik terhadap pekerja yang seterusnya memberikan implikasi positif terhadap sesuatu pekerjaan.

d) Teori Motivasi ERG
Clayton Alderfer mempelopori teori ERG yang bermaksud ‘existence’ (kewujudan), ‘relatedness’(perhubungan) dan ‘growth’(perkembangan). Beliau berpendapat bahawa manusia mempunyai tiga keperluan asas iaitu kewujudan, perhubungan dan perkembangan.
i. kewujudan merupakan keperluan untuk manusia terhadap keperluan asas bagi meneruskan hidup
ii. perhubungan pula merujuk kepada keperluan manusia untuk berhubung di antara satu sama lain dan saling memerlukan
iii. perkembangan ialah keperluan individu untuk mencapai kecemerlangan dan kesempurnaan diri

Menurut teori ERG ini, pengurus/pentadbir memainkan peranan penting untuk
membantu pekerja menguatkan kewujudan mereka dalam sesebuah organisasi dengan memberikan dorongan dan tunjuk ajar yang diperlukan. Selepas keperluan pertama dicapai maka persekitaran kerja yang sihat di mana perhubungan dan persefahaman sesama pekerja berjalan dengan baik perlu diwujudkan oleh pengurus/pentadbir. Ini dapat dilakukan melalui pengagihan tugasan secara berkumpulan untuk diselesaikan akan mengeratkan lagi hubungan sesama pekerja. Seterusnya dorongan yang diberikan kepada pekerja untuk mencapai kecemerlangan dan kesempurnaan diri akan memantapkan lagi organisasi yang dipimpin oleh seseorang pengurus/pentadbir.

e) Teori Keperluan Mc Clelland
Teori ini diperkenalkan oleh David Mc Clelland di mana beliau menyatakan bahawa setiap individu mempunyai tiga keperluan iaitu keinginan untuk berjaya, keinginan untuk berkuasa dan keinginan untuk penggabungan diri. Pekerja yang mempunyai keinginan untuk berjaya sentiasa bersedia untuk berusaha bagi mencapai kejayaan yang disasarkan tanpa memperdulikan ganjaran yang bakal diterima sebaliknya mementingkan kejayaan yang cemerlang. Pekerja yang mempunyai keinginan untuk berkuasa pula akan menjadikan mereka mahu mengawal orang lain dan sukar menerima arahan terutama daripada rakan sekerja. Ini akan menjadikan pekerja dalam kelompok ini akan berusaha untuk mencapai pangkat yang lebih tinggi agar mereka memperolehi kuasa yang diinginkan. Bagi pekerja yang mempunyai keinginan untuk penggabungan diri pula akan berusaha agar mereka diterima oleh rakan-rakan sekerja. Kumpulan pekerja seperti ini akan mempunyai hubungan yang mesra di kalangan rakan-rakan sekerja dan mempunyai sikap bekerjasama dan bertolak ansur yang tinggi dalam sesebuah organisasi.

Pengurus/pentadbir yang efisien akan mengeksploitasikan keperluan tiga
golongan di atas untuk memotivasikan mereka memberikan usaha yang maksimum dalam menjalankan tugas seharian.


f) Teori Pengharapan
Teori ini yang diasaskan oleh Victor Vroom juga dikenali sebagai teori VIE
(Value, Instrument, Expectation) atau Expectancy Theory. Teori ini mengatakan bahawa kepuasan bekerja bukan pendorong kepada prestasi tinggi sebaliknya kepuasan bekerja adalah hasil daripada prestasi tinggi yang ditunjukkan oleh pekerja. Maksud di sini ialah apabila pekerja menghasilkan prestasi tinggi maka mereka akan merasa puas terhadap pekerjaaan mereka.
Mengikut teori ini kemungkinan untuk individu bermotivasi dalam melakukan sesuatu kerja semakin tinggi apabila individu tersebut merasakan kerja yang dilakukan itu akan memberikan hasil yang positif terhadap dirinya.

Sebagai pengurus/pentadbir sesebuah organisasi amat penting meletakkan sasaran
kerja yang realistik untuk dicapai kepada golongan ini agar mereka dapat mengecap kejayaan terhadap kerja yang dilakukan yang merupakan faktor motivasi kepada mereka untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.

g) Teori Keseimbangan
Teori keseimbangan dikemukakan oleh Stacy Adams yang mengandaikan bahawa segala tingkah laku manusia terbit daripada usaha mereka untuk mengelakkan daripada tekanan psikologikal. Pekerja akan terdorong untuk melakukan sesuatu pekerjaan sekurang-kurangnya menyamai pencapaian rakan-rakannya. Pencapaian yang rendah akan mendorong mereka melipat gandakan usaha bagi menyamai apa yang dicapai oleh rakan mereka bagi mengelakkan tekanan psikologi. Tekanan psikologi bertindak sebagai faktor motivasi yang positif kepada pekerja untuk memaksimumkan produktiviti mereka.

Pengurs/pentadbir yang bijak akan mewujudkan persaingan yang positif di
kalangan pekerja untuk memotivasikan mereka menjalankan tugas secara optimum bagi meningkatkan tahap produktiviti sesebuah organisasi.

h) Teori Pencapaian Matlamat
Edwin Lokce mengaitkan asas motivasi individu dalam melakukan sesuatu kerja bergantung kepada keinginannya untuk mencapai matlamat. Matlamat itu mewakili tindakan yang akan dilakukan pada masa hadapan. Penetapan matlamat secara khusus, jelas dan mencabar dapat memotivasikan dan mengarahkan tingkahlaku ke-arah prestasi kerja yang berkesan.

Pengurus/pentadbir yang melibatkan diri secara berkesan akan memberikan
dorongan serta sokongan yang diperlukan oleh pekerja untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.



i) Teori Atribusi
Penentuan tingkah laku di tempat kerja dengan menggunakan konsep lokus kawalan dipelopori oleh Heider. Lokus kawalan berupaya untuk mengenalpasti pekerja yang bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu kerja. Lokus kawalan terdiri daripada lokus dalaman dan lokus luaran.
i. Lokus dalaman merupakan kecenderongan individu untuk menyalahkan
diri sendiri terhadap sesuatu kegagalan/masalah yang timbul.
ii. Lokus luaran pula adalah kecenderongan individu untuk meletakkan
kesalahan terhadap sesuatu kegagalan kepada orang lain, sistem, cuaca dan lainnya tanpa menyalahkan dirinya sendiri.

Pengurus/pentadbir perlu memberikan fokus terhadap kumpulan pekerja yang mempunyai sikap lokus kawalan luaran kerana tingkah laku mereka mempunyai pertalian yang rapat dengan kegagalan sesebuah organisasi.

2 comments:

  1. thank you sir ... writing and your contribution is very valuable for people who know how to value the contributions of others.

    ReplyDelete